GAZA: Ketika Ramadan bermula, rakyat Palestin di Gaza teruja meraikan bulan puasa dengan menghidupkan semula tradisi membuat kuih qatayef walaupun hanya menggunakan dapur kayu sementara.
Kedatangan bulan Ramadan dimeriahkan dengan aroma pencuci mulut klasik Palestin ini yang kembali memenuhi pasar selepas dua tahun peperangan yang memusnahkan.
Di pasar Rafah di bandar Khan Younis, beberapa pemilik kedai cuba menghidupkan kembali perniagaan mereka dengan kembali menyalakan dapur kayu untuk membuat qatayef di tengah-tengah runtuhan.
Dengan pengalaman lebih 20 tahun, seorang penjaja, Salim Al-Bayouk yang dikenali sebagai ‘Raja Qatayef’ di pasar itu terus menyediakan pencuci mulut tersebut secara manual walaupun dengan sumber terhad dan kekurangan bahan asas.
Salim, 54, memberitahu Anadolu, dia memulakan perniagaan ini di bandar Rafah sebelum berpindah ke Khan Younis selepas Israel menduduki bandar tersebut, menzahirkan tekadnya untuk terus bertahan dalam keadaan sukar.
Qatayef dianggap ‘permaisuri pencuci mulut Ramadan’ oleh rakyat Palestin, terkenal kerana mudah disediakan dan kosnya rendah. Ia seakan penkek kecil yang diisi dengan kacang, keju, atau kurma, kemudian dibakar dan direndam dalam sirap gula.
Bayouk berkata, semasa Ramadan, kerjanya bergantung terutamanya kepada gas memasak. Namun, kekurangan bekalan memaksanya bergantung kepada kayu untuk meneruskan kerjanya menjual kuih tersebut.
Meskipun berdepan cabaran dan kos operasi meningkat, rakyat Palestin bertekad untuk terus bertahan, menolak perpindahan dan berpegang teguh kepada tradisi Ramadan yang enggan mereka lenyapkan dari bandar itu.
Bayouk berkata, beliau berusaha menurunkan harga dengan bantuan 10 hingga 15 pekerja sepanjang musim ini, menekankan komitmennya untuk terus menyediakan kuih itu sekalipun kedainya rosak dan terpaksa bergantung kepada pembaikan sementara.










