PERGOLAKAN dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak lagi boleh disorok di sebalik istilah ‘perbezaan pandangan’. Ini kerana masalah itu sudah menjelma sebagai krisis disiplin yang memaksa parti memilih antara kelangsungan atau kehancuran dari dalam.
Pemecatan 17 ahli memberi isyarat keras yang Bersatu enggan lagi menjadi pelantar kepada pengkhianatan, rundingan gelap dan politik kepentingan diri.
Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), MUHAMMAD HILMAN IDHAM, tidak berselindung apabila menyifatkan pemecatan ini sebagai langkah ‘membunuh lalang dalam parti’,
Dalam temu bual bersama wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan ASLINDA NASIR serta jurufoto, SADDAM YUSOFF, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia berkata dalam konteks politik, lalang ialah mereka yang bermain dua muka, merundingkan kerusi tanpa mandat dan meletakkan kepentingan peribadi mengatasi parti.
Pemecatan ini mungkin menyakitkan tetapi pembedahan jarang dilakukan tanpa luka. Jika Bersatu mahu kembali ke landasan dan diyakini rakyat sebagai government in waiting (kerajaan menunggu), maka lalang mesti dicabut bukan dipelihara atas nama toleransi palsu.
UTUSAN: Boleh kongsikan tentang kecohan yang berlaku sehingga pemecatan 17 ahli?
MUHAMMAD HILMAN: Kita putuskan dalam mesyuarat khas baru-baru ini usaha dan langkah pemulihan serta pengukuhan parti akan dilaksanakan serta-merta.
Bahagian-bahagian yang terkesan dengan tindakan Lembaga Disiplin akan diteliti oleh Jawatankuasa Pengurusan Parti.
Ada dua pihak yang akan menilai bahagian-bahagian yang terkesan ini. Pertama ialah ketua-ketua badan pimpinan negeri diberikan kuasa dan mandat oleh presiden untuk meneliti. Kemudian cadangan-cadangan itu boleh dihantar kepada Jawatankuasa Pengurusan Parti untuk diteliti semula sebelum tindakan susulan diambil termasuklah pelantikan ketua-ketua bahagian penaja.
Setakat ini, kita menerima respons yang positif daripada akar umbi. Pada hari Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) khas tersebut, dua wakil daripada empat ketua bahagian yang dipecat hadir melalui timbalan ketua masing-masing. Kehadiran mereka mencerminkan sikap terbuka serta komitmen bersama untuk memastikan proses pengurusan bahagian terus berjalan dengan teratur dan lancar demi kepentingan organisasi.
Dan kemungkinan kita akan memberi mandat kepada timbalan ketua-ketua bahagian. Ini sekali gus menunjukkan mereka juga tidak bersetuju dengan tindakan ketua bahagian dan menyatakan tindakan yang diambil oleh pimpinan-pimpinan tersebut tidak mendapat kesetujuan daripada bahagian.
Kita juga mendapat respon yang sangat positif daripada bekas ahli-ahli Bersatu yang disingkirkan sebelum ini sekitar 2020 ataupun mereka yang selama ini menjadi ahli tetapi tidak lagi aktif akibat daripada tindakan yang diambil oleh parti terhadap perbezaan pemahaman.
Jadi mereka juga datang kepada kita menyatakan kesediaan untuk kembali aktif dan ini antara perkara yang sedang kita perhalusi di mana Bersatu akan terus bergerak untuk merangkul dukungan rakyat.
Ketika ini perbincangan sedang berjalan dan saya sendiri mencadangkan supaya parti memberikan mandat kepada Naib Presiden, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. Mereka ini adalah pengasas pimpinan dan layak bertemu dengan mereka yang ingin kembali kepada Bersatu.
Insya-Allah kita merancang untuk mengadakan pertemuan-pertemuan tersebut dalam tempoh sebulan ketika Ramadan ini.
Jika dilihat, banyak nama besar tinggalkan parti dalam kemelut ini. Adakah boleh menjejaskan kepercayaan pengundi?
Sesebuah parti itu berdiri bukan kerana pemimpin tetapi disebabkan dukungan rakyat dan juga ahli di peringkat akar umbi.
Pemimpin dalam mana-mana parti politik boleh datang dan pergi. Itu perkara biasa tetapi selagi parti mempunyai jumlah besar ahli, hal ini (hilang kepercayaan pengundi) tidak akan berlaku.
Saya yakin ini juga sebenarnya peluang kepada pimpinan-pimpinan di peringkat akar umbi untuk menampilkan bakat dan juga potensi supaya sekiranya satu hari nanti ada ruang dan peluang, mereka ini juga boleh diangkat sebagai pemimpin yang mengurus bahagian ataupun diangkat sebagai calon.
Kemelut membuka ruang untuk Bersatu jatuh. Tidak risau undi berpecah apabila mereka yang dipecat menyertai parti lain atau tubuhkan parti baharu?
Adakah ini pertama kali berlaku dalam politik? Semua parti mesti menjadi realistik. Kalau kata gaduh, semua parti pun gaduh.
PKR sebelum pilihan raya umum (PRU) yang lalu, pun gaduh tetapi akhirnya Perdana Menteri tetap dilantik.
Kita tidak risau atau gusar kerana yakin sambutan yang positif untuk menonjolkan kepimpinan-kepimpinan baharu.
Tapi, mereka ada penyokong tersendiri? Tidakkah ia memberi kesan kepada Bersatu?
Mereka ini pun terdiri dalam kelompok golongan ‘dinosaur’ dan ‘barang purba’ seperti Tan Sri Rahim Thamby Chik yang menuntut Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur sekali gus posisi presiden diganti Datuk Seri Hamzah Zainudin. Cukup baik Muhyiddin ‘angkat’ beliau daripada muzium sebagai Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Melaka.
Saya sendiri tidak ingat zaman kegemilangan beliau sebagai ketua menteri, sebaliknya hanya tahu dalam buku Sejarah sahaja.
Kalau begini sikap beliau, saya katakan kepada presiden, kita kembalikan kepada muzium kerana tempat itu lebih sesuai dengan beliau.
Bagaimana dakwaan Hamzah mendapat sokongan dua pertiga ketua bahagian?
Dua pertiga daripada mana? Ketika ini, kita sedang meneliti senarai mereka yang hadir dalam Reset Politik di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaysia (PAUM) tetapi apa yang dinyatakan itu sama sekali tidak betul.
Mereka yang hadir pada hari itu yang telah dikenalpasti sekitar 40 lebih ketua bahagian sahaja. Itu pun sebahagian besar wakil ataupun kepimpinan bahagian sudah menyatakan pandangan dan perlu bertanggungjawab atas tindakan mereka.
Sejauh mana kebenaran khabar angin yang mengatakan bahagian Larut dan Lembah Pantai terbubar?
Tidak betul sama sekali. Dalam Perlembagaan Bersatu, bahagian hanya boleh terbubar sekiranya keseluruhan ahli jawatankuasa bahagian meletakkan jawatan secara serentak dan itu tidak berlaku.
Kuasa membubarkan bahagian dan sebagainya tidak terletak pada kuasa ketua bahagian sebaliknya pada MPT, itu pun setelah meneliti keseluruhan perkara-perkara tersebut.
Sebab itu ada beberapa perbincangan di ibu pejabat dan kita mendapati tidak semua ahli jawatankuasa bahagian sama ada di Larut ataupun di Lembah Pantai meletakkan jawatan sebaliknya mendukung pengumuman pembubaran yang dibuat pihak tertentu.
Adakah kedudukan mereka yang dipecat akan diganti dalam masa terdekat?
Kita mengambil pendirian dan tindakan untuk aktifkan kawalan pusat bagi menyelesaikan masalah-masalah ini. Dalam masa sama kita berikan ruang kepada ketua badan pimpinan negeri untuk meneliti perkara-perkara tersebut dan menghantar cadangan kepada Jawatankuasa Pengurusan Parti.
Yang paling penting sekarang ini, kita kena ambil satu langkah positif untuk menyelesaikan masalah ataupun isu kestabilan dalam parti. Ini bagi memastikan kita menang dalam pilihan raya akan datang.
Rakyat bukan sahaja mahu melihat kita sebagai alternatif kepada kerajaan tetapi syarat utama sebuah government in waiting mestilah menampilkan ciri-ciri kestabilan dan kepimpinan yang kuat.
Saya boleh kongsikan mesyuarat MPT khas baru-baru ini berjalan dengan cukup konstruktif, perbincangannya cukup baik dan banyak pendirian-pendirian parti diambil untuk memastikan Bersatu kembali ke momentum asal.
Apa langkah yang parti akan ambil terhadap bahagian-bahagian yang bermasalah?
Kita perlu ‘repair’, ‘overhaul’ dan cari pengganti.
Kedua, kita akan beri fokus kepada kawasan-kawasan tumpuan. Maksudnya, yang memang kerusi kita bertanding ataupun berpotensi untuk bertanding dan menang.
Ketiga, kita akan meneliti secara terperinci calon-calon yang berpotensi untuk bertanding sama ada daripada dalam bahagian tersebut mahupun dari luar. Setelah proses penelitian dibuat, kita akan mempertimbangkan untuk melantik individu yang paling sesuai sebagai ketua bahagian penaja.
Langkah ini penting supaya urusan pengurusan dapat berjalan dengan lancar dan kita tidak perlu mengulangi proses atau melakukan kerja dua kali.
Dari awal ada suara mengatakan Bersatu sebuah parti yang rapuh. Apa sebenarnya masalah utama Bersatu sejak dulu?
Saya rasa masalah Bersatu sehingga hari ini ialah sikap sesetengah pimpinan yang anggap mereka boleh buat parti ini sesuka hati.
Contohnya, pergi berunding dengan orang sana, dia pergi runding dengan orang sini.
Dan perkara itu tidak dilaporkan dalam parti, seolah terlalu rahsia. Apabila ditanya, mereka memberi alasan ia sensitif tetapi sejauh mana ia sensitif? Mungkinkah terlalu sensitif sehingga presiden pun tidak tahu.
Perkara ini mungkin dianggap biasa jika melibatkan ‘orang bawah’, Armada atau sayap-sayap parti yang lain tetapi bukan barisan pimpinan. Inilah maksud sesetengah pemimpin tidak berdisiplin.
Ini yang berlaku dalam hal Pilihan Raya Negeri (Sabah) Ke-17, menyebabkan kekalahan teruk. Mereka membelakangkan kepentingan parti. Mereka lebih utamakan kepentingan peribadi. Perkara sebegini tidak boleh berlaku.
Dalam perlembagaan, sudah jelas peranan presiden untuk memutuskan keputusan. Sepatutnya, jumpa presiden, ini tidak, presiden pun tidak tahu inti pati yang dikatakan rundingan itu.
Bagaimana pula dengan isu kewangan dan sumbangan, ada yang kata Hamzah banyak membantu dari segi ini?
Siapa kata? Habis itu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak bagi? Ahmad Faizal, Mohd. Radzi dan Armada sendiri tidak bantu?
Sejak saya memegang jawatan Ketua Armada, tidak satu sen pun kami minta daripada parti. Kami uruskan Armada sendiri.
Hamzah antara pengasas, sepatutnya beliau bawa perubahan tetapi lakukan kerosakan dalam parti.
Dia terlalu banyak rundingan. Rundingan dalam runding dan bila ditanya cuma diam. Presiden pernah tanya sebanyak tiga kali “Siapa yang pergi berunding dengan UMNO?” Tapi beliau senyap.
Mohamed Azmin didakwa menjadi punca pergolakan ini. Bagaimana reaksi you sebagai orang rapat Setiausaha Agung apabila beliau dituduh sedemikian rupa?
Sebagai Setiausaha Agung, saya rasa Mohamed Azmin mengambil langkah yang cukup proaktif untuk memperkukuhkan Bersatu khususnya dari segi keahlian, pengurusan dan pentadbiran.
Saya rasa, ia dilakukan dengan cukup baik tetapi apa yang berlaku pada hari ini, tiada kena mengena dengan beliau.
Cabaran dan kestabilan yang diganggu gugat ditujukan kepada presiden, maka sudah tentu sebagai setiausaha agung, beliau harus mempertahankan insitusi dan juga kewibawaan parti.
Kita perlu kekalkan idealisme dan prinsip parti, lebih-lebih lagi setelah di ‘hijack’ oleh mereka untuk melunaskan kepentingan mana-mana pemimpin tertentu.
Mungkin orang kata, Mohamed Azmin adalah punca kerana mengambil sikap mempertahankan presiden. Jika dilihat sebenarnya, Mohamed Azmin menjadi batu penghalang utama yang menumpaskan matlamat dan objektif jahat mereka.
Rakyat melihat perjuangan parti ini tersasar. Sepatutnya pada ketika ini, Bersatu berjuang dalam isu rasuah yang dikaitkan dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, bukannya perselisihan faham seperti ini. Komen.
Yang tersasar objektif dan fokus mereka-mereka ini. Dalam perlembagaan, tugas timbalan presiden untuk membantu tugas-tugas presiden, apatah lagi sebagai ketua pembangkang. Kenapa buat himpunan di PAUM untuk bercakap tentang parti. Kenapa tidak bercakap tentang isu-isu negara, Azam, penyelewengan, pentadbiran negara atau kontrak-kontrak yang dianugerahkan tanpa tender terbuka.
Bagi saya, kita harus selesaikan perkara ini dengan segera dan tindakan itu mesti diambil secara strategi supaya Bersatu dapat kembali ke landasannya dan memberi fokus dalam isu-isu negara serta rakyat.
Saya yakin ia tidak mengambil masa lama sebab kesannya tidak besar.
Kami percaya you sendiri tidak boleh nafikan yang pergolakan ini sedikit sebanyak mengurangkan kepercayaan pengundi dan rakyat terhadap Bersatu. Bagaimana mahu kembalikan semula keyakinan orang ramai?
Sebab itu dalam mesyuarat khas MPT baru-baru ini, kita terus membincangkan bagaimana langkah pemulihan dan pengukuhan parti.
Dalam masa sama, semua sayap begitu juga parti akan terus bergerak dengan memberi fokus kepada isu-isu yang menjadi perhatian rakyat. Kalau kita mahu selesaikan perkara ini, kedua-duanya (isu dalaman parti dan rakyat) sekali gus sukar, sebab itu kita putuskan untuk selesaikan perkara ini dengan segera. Kita juga sudah bincangkan perkara-perkara baharu yang akan dilaksanakan.
Pada Ramadan ini, Armada akan melancarkan Majlis Perundingan Kebijakan Armada yang akan mengumpulkan anak-anak muda profesional daripada pelbagai latar belakang untuk menghasilkan atau membincangkan perkara-perkara yang beri fokus kepada anak muda. Seterusnya menghasilkan satu tawaran yang baik untuk anak muda dalam pilihan raya seperti penggubalan polisi dan isu melibatkan mereka seperti kos sara hidup, pengangguran, ekonomi, pekerja gig dan sebagainya.

MUHAMMAD Hilman Idham ketika ditemu bual wartawan Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Pandangan peribadi tentang Hamzah?
Beliau seorang pemimpin yang bercita-cita tinggi tetapi kesilapan terbesarnya ialah merendahkan kepimpinan presiden. Sepatutnya sebagai orang yang mengenali personaliti Muhyiddin jauh lebih lama berbanding saya, sejak mereka dalam UMNO patut memahami presiden.
Saya harap Hamzah mengambil pengajaran daripada pengalaman ini dan dapat tempat baharu yang lebih baik.
UMNO baru-baru ini mengeluarkan kenyataan sudi menerima semula Hamzah dan bekas-bekas ahli ke dalam parti. Jika Hamzah kembali kepada UMNO akan memperkuatkan parti itu sekali gus memberi kesan kepada Bersatu. Komen.
Itu keputusan mereka. Bagi saya, kita telah mengambil langkah positif dengan menyelesaikan isu kestabilan dalam parti untuk menang dalam pilihan raya. Rakyat bukan sahaja mahu melihat Bersatu sebagai alternatif kepada kerajaan tetapi syarat utama kepada sebuah government in waiting, mesti menampilkan ciri-ciri kestabilan dan kepimpinan yang kuat.
Dengan apa yang berlaku, Bersatu dikatakan menuju kehancuran. Benarkah seperti yang didakwa?
Andaian oleh masyarakat atau cacian yang diberikan oleh musuh merupakan perkara biasa. Sebab itu dalam mesyuarat MPT baru-baru ini kita melihat suasana politik hari ini secara pragmatik.
Dalam tempoh hampir setahun memang persepsi rakyat melihat Bersatu berpecah, diambang kehancuran tetapi itu yang saya maksudkan dengan langkah yang positif di mana kita bertegas dalam isu idealisme dan perjuangan parti sebab tidak mahu Bersatu di ‘hijack’ oleh mana-mana pemimpin parti yang tidak melaksanakan tugas mereka secara kolektif.
Mana boleh pergi berunding dengan parti lain tanpa mandat yang jelas daripada parti. Itu satu pengkhianatan, tidak kiralah mahu berunding dengan UMNO, Pakatan Harapan (PH) atau parti mana pun perlu mendapat mandat parti.
Parti ini tidak boleh dimiliki oleh mana-mana pemimpin. Ini yang saya sanggah, mereka yang kononnya kata parti ini milik Muhyiddin, ia tidak betul.
Kita ada bukti kerana itu pendekatan ini (pemecatan), diambil.
Bagaimana hubungan dengan Pas? Difahamkan mereka berpihak kepada kem Hamzah.
Kita sedang dalam fasa akhir menyelesaikan masalah dalaman dan bercadang bertemu mereka dalam masa terdekat. –UTUSAN










