Robot humanoid China kuasai pentas sambutan Tahun Baharu Lunar

Robot humanoid China kuasai pentas sambutan Tahun Baharu Lunar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Robot humanoid mula menguasai pentas sambutan Tahun Baharu Lunar di China dengan rancangan televisyen paling ditonton di negara itu turut memilih menonjolkan dasar industri pembuatan terkini serta usaha Beijing menguasai pembangunannya di masa depan.

Lapor Reuters, sambutan gala tahunan Festival Musim Bunga anjuran China Central Television (CCTV) menyaksikan empat syarikat pemula robot humanoid iaitu Unitree Robotics, Galbot, Noetix dan MagicLab mempamerkan produk masing-masing dalam acara siaran langsung itu, yang dianggap penanda budaya di China setanding Super Bowl di Amerika Syarikat (AS).

Tiga sketsa awal rancangan menampilkan robot humanoid termasuk demonstrasi seni bela diri yang panjang apabila lebih 12 robot Unitree mempersembahkan urutan pertarungan kompleks menggunakan pedang, tongkat dan nunchaku berhampiran beberapa artis kanak-kanak.

Antara aksi tersebut ialah demonstrasi teknikal yang meniru gerakan goyah serta jatuh ke belakang gaya seni bela diri ‘tinju mabuk’, mempamerkan inovasi dalam penyelarasan pelbagai robot dan pemulihan iaitu keupayaan robot bangun semula selepas terjatuh.

Sketsa pembukaan juga menampilkan chatbot AI Doubao keluaran ByteDance, manakala empat robot humanoid Noetix muncul bersama pelakon manusia dalam sketsa komedi dan robot MagicLab mempersembahkan tarian berirama serentak dengan penari manusia menerusi lagu We Are Made in China.

Keterujaan terhadap sektor robot humanoid China meningkat ketika pemain utama termasuk AgiBot dan Unitree bersedia untuk tawaran awam permulaan (IPO) tahun ini, sementara syarikat pemula kecerdasan buatan (AI) tempatan melancarkan pelbagai model canggih sepanjang cuti Tahun Baharu Lunar selama sembilan hari.

Gala tahun lalu mengejutkan penonton apabila 16 robot humanoid Unitree bersaiz penuh menari serentak dengan pelakon manusia.

Presiden, Xi Jinping dilaporkan bertemu lima pengasas syarikat pemula robotik sepanjang tahun lalu, jumlah yang setanding dengan pertemuannya dengan usahawan kenderaan elektrik dan semikonduktor sekali gus, memberikan sektor yang masih berkembang itu pendedahan luar biasa.

“Rancangan CCTV itu yang menarik 79 peratus tontonan televisyen secara langsung di China tahun lalu, telah lama digunakan untuk menonjolkan cita-cita teknologi Beijing termasuk program angkasa, dron dan robotik.

“Apa yang membezakan gala ini daripada acara serupa di tempat lain ialah hubungan langsung antara dasar perindustrian dan tontonan waktu perdana.

“Syarikat yang muncul di pentas gala menerima manfaat nyata seperti tempahan kerajaan, perhatian pelabur dan akses pasaran,” kata Pengarah Urusan Asia dan Ketua Robotik serta Automasi Firma Perunding Teknologi Stieler, Georg Stieler.

Beliau berkata, lonjakan prestasi robot dalam tempoh setahun amat ketara, dengan kawalan pergerakan yang mengagumkan menunjukkan tumpuan Unitree terhadap pembangunan ‘otak’ robot atau perisian berkuasa AI yang membolehkan pelaksanaan tugas motor halus dalam persekitaran kilang sebenar.

China menyumbang kira-kira 90 peratus daripada lebih 13,000 robot humanoid yang dihantar di seluruh dunia tahun lalu, jauh mengatasi pesaing dari Amerika Syarikat (AS), termasuk Tesla dan model humanoidnya, Optimus, menurut firma penyelidikan Omdia.

Morgan Stanley menjangkakan jualan robot humanoid China akan meningkat lebih dua kali ganda kepada 28,000 unit tahun ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×