Selain yee sang, antara menu wajib ketika sambutan Tahun Baharu Cina ialah itik panggang.
Bukan sekadar enak, hidangan ini sebenarnya sarat dengan simbolik kerana melambangkan kemakmuran, kesejahteraan dan kebersamaan keluarga.
Menu istimewa itu turut disajikan dalam makan besar, Jamuan Tuan Yuen di Restoran Ti Chen, The Saujana Hotel Kuala Lumpur sempena musim perayaan ini.
Cef eksekutifnya, Lim Chee Woi berkata, penyediaan itik panggang menuntut kemahiran dan kesabaran tinggi.
Apa tidaknya, tempoh dua hari diperlukan untuk menyiapkannya termasuk proses perapan selama lapan jam.
Ia disusuli dengan proses pengeringan semalaman dengan dilumurkan bersama daun teh, beras dan gula.
Katanya, bahan-bahan itu memberikan aroma wangi di samping menjadikan warna itik lebih menarik.
“Kemudian barulah ia dipanggang selama sejam dalam api perlahan bagi memastikan daging kekal lembut dan tidak kering manakala kulit keemasan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Harga Jamuan Tuan Yuen ialah RM289.80 untuk seorang manakala RM1,438 (lima orang) dan RM2,898 (10 orang).

Dalam pada itu, hotel ini turut menawarkan bufet Ramadan yang bertemakan Cita Rasa Empat Penjuru.
Pengurus besarnya, Jasmine Ong Li berkata, pemilihan tema itu melambangkan warisan unik di setiap wilayah iaitu Utara, Tengah, Pantai Timur dan Selatan yang kemudian disatukan dalam satu pengalaman menjamu selera.
“Hidangan ini membentuk peta kulinari Malaysia dan mencerminkan siapa kita.
“Walaupun negeri dan tradisi berbeza, namun ia lebih indah apabila dikongsi di meja yang sama,” katanya.











