Loji 1.4GW Paka mampu jana EBIT RM200j setahun kepada TNB

Loji 1.4GW Paka mampu jana EBIT RM200j setahun kepada TNB

GAMBAR HIASAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Loji Turbin Gas Kitaran Gabungan (CCGT) berkapasiti 1.4 gigawatt (GW) di Paka, Terengganu yang diperoleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) berpotensi menjana kira-kira RM200 juta keuntungan sebelum faedah dan cukai (EBIT) setahun apabila mula beroperasi sekitar 2029, menurut Cimb Securities Sdn. Bhd. 

Firma pembrokeran berkata, projek itu dianugerahkan oleh Suruhanjaya Tenaga di bawah bidaan Kapasiti Penjanaan Baharu 2025–2029 bagi Semenanjung Malaysia (Kategori 2) dan merupakan satu-satunya loji jana kuasa baharu yang diluluskan dalam pusingan berkenaan.

“Kerja pembinaan dijangka mengambil masa tiga tahun dan loji itu akan beroperasi di bawah Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) selama 15 tahun, dengan TNB sebagai pembeli tunggal tenaga yang dijana,” katanya dalam nota penyelidikan.

Menurutnya, kos pelaburan projek dianggarkan antara RM7.5 bilion hingga RM8 bilion. Dengan andaian struktur pembiayaan 80 peratus hutang dan 20 peratus ekuiti, jumlah suntikan ekuiti diperlukan sekitar RM1.5 bilion hingga RM1.6 bilion.

“Walaupun TNB tidak mendedahkan pegangan dalam konsortium terbabit, kami percaya syarikat itu akan memegang kepentingan majoriti.

“Berdasarkan anggaran pegangan 80 peratus, bahagian ekuiti TNB dianggarkan sekitar RM1.2 bilion hingga RM1.3 bilion, berbanding kedudukan tunai kira-kira RM12 bilion yang dijangka dicatat menjelang akhir tahun kewangan 2025,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, CIMB Securities mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap saham TNB dengan harga sasaran (TP) RM15.10 sesaham, berbanding harga semasa RM13.96.

Katanya, unjuran pendapatan sesaham (EPS) teras bagi tahun kewangan 2025 hingga 2027 tidak berubah memandangkan sumbangan projek baharu itu hanya dijangka bermula sekitar 2029 hingga 2030.

“Bagi tahun kewangan 2025, TNB diunjurkan mencatat hasil RM66.4 bilion berbanding RM56.7 bilion pada 2024, manakala keuntungan bersih teras dijangka meningkat kepada RM4.37 bilion daripada RM3.33 bilion sebelumnya.

“Pertumbuhan itu disokong oleh perkembangan kukuh asas aset terkawal (RAB) selain perbelanjaan modal berterusan bagi memperkukuh infrastruktur penjanaan dan penghantaran elektrik,” katanya.

Menurutnya, antara risiko utama termasuk kos operasi yang lebih tinggi daripada jangkaan serta pelaksanaan perbelanjaan modal luar jangka yang lebih perlahan.

Penganugerahan projek loji 1.4GW itu dilihat sebagai pemangkin jangka panjang kepada pertumbuhan pendapatan TNB, sekali gus mengukuhkan lagi peranannya sebagai pemain utiliti utama negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×