Jangan takut pelihara kucing dijangkiti FIV

Jangan takut pelihara kucing dijangkiti FIV

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMAI tidak tahu penyakit seumpama HIV bukan hanya berlaku kepada manusia. Dalam dunia haiwan, kucing juga mempunyai versi tersendiri yang dikenali sebagai FIV atau Feline Immunodeficiency Virus.

Seperti HIV pada manusia, FIV menyerang sistem imun kucing, menjadikannya lemah dan mudah dijangkiti pelbagai penyakit lain yang biasanya tidak berbahaya.

FIV dan HIV berasal daripada keluarga virus yang sama, iaitu lentivirus, sejenis virus yang bertindak perlahan tetapi memberi kesan jangka panjang terhadap sistem pertahanan badan.

Namun, walaupun berasal daripada keluarga virus yang sama, FIV dan HIV tidak sama dan tidak saling berjangkit.

Doktor veterinar di Klinik Kitty’s Cottage Desa Pandan, Nurzaty Ewani A. Hamid berkata, FIV bersifat host-specific, bermaksud virus ini hanya menyerang kucing dan tidak boleh menjangkiti manusia atau haiwan peliharaan lain seperti anjing.

“Ini bermakna, kucing positif FIV selamat dipelihara, dipeluk dan dijaga seperti biasa tanpa risiko kepada manusia.

“Masalah utama FIV bukan pada virus itu sendiri, tetapi pada kesan jangka panjang apabila sistem imun kucing semakin melemah,” katanya kepada Seri.

GEJALA FIV
Antara gejala awal yang sering dikesan ialah demam berlarutan, selsema atau batuk yang tidak sembuh-sembuh serta keadaan kucing yang kelihatan lesu.

Dr. Nurzaty berkata, penyakit gusi dan ulser di dalam mulut juga antara tanda biasa, menyebabkan kucing kurang selera makan dan berat badan mula menurun.

Katanya, dalam keadaan lebih serius, kucing FIV boleh mengalami masalah saraf seperti lemah anggota badan, perubahan tingkah laku dan sawan.

“Seperti HIV pada manusia, FIV tiada penawar sehingga kini.

“Namun, itu tidak bermakna kucing FIV tidak boleh hidup lama atau menikmati kualiti hidup yang baik,” katanya.

 

BOLEH DIKAWAL
Dengan rawatan sokongan seperti immune booster, antiviral dan pemantauan kesihatan berkala, FIV boleh dikawal.

Dr. Nurzaty berkata, banyak kucing positif FIV mampu hidup bertahun-tahun tanpa gejala serius, terutama jika dijaga rapi dan hidup dalam persekitaran bersih serta kurang stres.

Namun katanya, apabila simptom semakin teruk dan jangkitan sekunder sukar dikawal, jangka hayat kucing mungkin menjadi lebih singkat, ada kalanya hanya beberapa bulan.

“FIV boleh berjangkit terutamanya melalui gigitan kucing yang positif FIV, biasanya ketika pergaduhan.

“Jangkitan juga boleh berlaku melalui sentuhan langsung seperti grooming bersama atau berkongsi bekas makanan dan minuman dengan kucing positif,” katanya.

Sehubungan itu, kucing FIV disarankan dipelihara secara berasingan atau bersama kucing yang juga positif FIV bagi mengelakkan penularan.

Pengesanan awal sangat penting. FIV boleh dikenal pasti melalui simptom atau melalui ujian saringan awal di klinik veterinar.

Kucing yang dikesan positif lebih awal mempunyai peluang lebih baik untuk hidup lama dengan penjagaan rapi dan pemakanan seimbang.

Walaupun FIV boleh membawa maut apabila imunisasi terlalu lemah untuk melawan jangkitan, ia bukan hukuman mati serta-merta.

 

FIV VS FIP
Dr. Nurzaty menjelaskan, ramai masih keliru antara FIV dan FIP, sedangkan kedua-duanya adalah penyakit berbeza.

Katanya, FIP atau Feline Infectious Peritonitis berlaku akibat mutasi virus coronavirus kucing, selalunya apabila kucing berada dalam keadaan stres.

Berbeza dengan FIV, FIP kini mempunyai rawatan terkini dan masih boleh diselamatkan, namun penyakit ini sukar dikesan awal kerana mutasinya berlaku secara senyap.

Kesimpulannya, FIV bukan alasan untuk menolak atau meninggalkan kucing. Dengan kefahaman, empati dan penjagaan yang betul, kucing FIV tetap berhak hidup sihat, disayangi dan dilindungi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×