MASIH ingat lagi suasana di Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Convent Aulong, Taiping, Perak di mana saya memulakan alam persekolahan.
Untuk rekod, ada tiga sekolah Convent yang menggabungkan murid lelaki dan perempuan.
Selain sekolah saya, terdapat SRK Convent Cameron Highlands di Pahang dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) St. Theresa’s Convent, Taiping dengan keunikan ini.
Sekolah rendah itulah yang menjadi tempat saya mula mencintai bahasa, buku dan kegiatan kokurikulum. Daripada seorang budak bertubuh kecil yang tidak pergi ke kelas tadika, saya menjadi seorang murid yang gemar membaca buku cerita.
Buku menjadi harta karun saya kerana di rumah, buku bukan satu kemewahan, malah sesuatu yang jarang mampu dibeli akibat kemiskinan. Maka, perpustakaan kecil di sekolah menjadi tempat kegemaran, membaca setiap buku yang dipinjam hampir setiap minggu.
Saya mula terlibat dalam baca puisi bahasa kebangsaan dan Inggeris, pidato, nyanyian koir, persembahan drama dan tarian, pengacara majlis dan sebagainya.
Saya juga terlibat dalam Persatuan Sains dan Matematik serta menjadi pengerusi Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM).
Segala minat itu diteruskan apabila melangkah ke Sekolah Menengah (SM) Darul Ridwan, Taiping pada 1985. Sehingga kini, apabila bertemu rakan-rakan lama, pengalaman terlibat dalam kelab dan persatuan tetap menjadi topik perbualan penuh nostalgia.
Pengalaman saya dalam persatuan bahasa pada peringkat awal bukan untuk membaca dan menghafaz tatabahasa. Sebaliknya membantu saya bercakap di khalayak ramai, menyusun acara, mengendalikan perbincangan serta sesi debat bersama rakan-rakan dalam persatuan dan kelab.
Jawatan setiausaha dalam Persatuan Bahasa Tamil memberi motivasi kepada saya untuk belajar bahasa itu sehingga mampu muncul pendebat terbaik semasa Tingkatan Lima.
Dalam setiap latihan pidato, sesi deklamasi puisi dan debat, saya belajar bukan sahaja untuk berkomunikasi dengan berkesan tetapi juga teknik mendengar, menghargai pandangan orang lain serta mengembangkan empati iaitu kemahiran yang sangat penting dalam kehidupan dewasa saya kemudian hari.
Semasa belajar Tingkatan Enam di SM King Edward VII, Taiping pula, saya bersama rakan-rakan mengatur program deklamasi puisi, persembahan drama, bengkel penghayatan cerpen dan sebagainya pada peringkat daerah. Selain persatuan bahasa, saya juga terlibat dalam Kelab Koperasi, Kelab Kaunseling dan Kelab Interact.
Dalam setiap persatuan dan kelab, saya bukan sekadar menulis minit mesyuarat atau mengurus surat-menyurat. Saya dan rakan-rakan belajar merancang program, mengatur perjumpaan mingguan, menyelia penerbitan risalah persatuan, selain menguruskan masa secara penuh disiplin agar segala aktiviti dapat dilaksanakan tepat pada masa.
Penglibatan saya dalam kelab dan persatuan bukan sahaja memberi ruang untuk menulis dan berkongsi tulisan saya yang akhirnya muncul dalam majalah sekolah. Malah turut membuka peluang menjadi pembimbing rakan sebaya dari sudut kaunseling dan kepimpinan pelajar.
Jawatan pengerusi Lembaga Pengawas Pusat Sumber pastinya umpama pucuk diundang, ulam mendatang bagi peminat buku seperti saya. Setiap persatuan, kelab dan unit pakaian seragam membuka peluang untuk saya belajar perkara baharu dan berkongsi pula ilmu dengan rakan-rakan.
Selain persatuan bahasa, pengalaman saya dalam unit pakaian seragam seperti Persatuan Pengakap dan Kelab Hoki melengkapkan perjalanan kokurikulum dengan unsur disiplin, kerja berpasukan serta ketahanan mental dan fizikal.
Melalui latihan pengakap, saya mula menghayati erti kerja berkumpulan, tanggungjawab, ketepatan masa serta ketekunan menghadapi cabaran ketika mengendalikan kem, menguruskan tugas luar kelas atau menyelesaikan tugasan kumpulan yang memerlukan perancangan teliti.
Nilai-nilai seperti integriti, komitmen terhadap janji, etika dan bertanggungjawab terhadap amanah menjadi asas yang terus kekal dalam diri hingga ke hari ini. Semuanya bermula menerusi penglibatan aktif dalam persatuan dan kelab di sekolah.
Tentu sahaja semua itu tidak berakhir di situ sahaja. Sebaliknya menjadi tunjang budaya dan pembelajaran sepanjang hayat kepada kehidupan harian saya sebagai seorang penulis, pengkaji, pembimbing bengkel dan pengendali program galakan membaca.
Semasa bertemu pelajar, saya sering mengingatkan mereka betapa segala kemahiran yang diasah semasa di sekolah telah membantu saya menguruskan organisasi, merancang bengkel penulisan kreatif, mengatur sesi diskusi penulis serta mengendalikan acara galakan membaca di seluruh negara.
Pengalaman sewaktu di sekolah, misalnya memimpin mesyuarat persatuan, mengurus acara peringkat sekolah dan daerah, berlakon di pentas, berkhemah di hutan, serta bercakap di depan khalayak semasa pidato, debat dan deklamasi sajak menjadikan saya seorang yang tidak gentar untuk berdepan dengan sesiapa hingga hari ini.
Saya sering mengingatkan ibu bapa supaya menyokong anak-anak menyertai persatuan, kelab dan unit pakaian seragam di sekolah. Penyertaan bukan sekadar untuk sijil dan markah aktiviti kokurikulum.
Sebaliknya, lebih kepada peluang membentuk jati diri anak, mengasah bakat kepimpinan, mengajar mereka tentang etika kerja, selain memberi ruang untuk belajar mengurus masa dan bertanggungjawab.

Dalam dunia yang semakin kompleks hari ini, kemahiran komunikasi, disiplin, kerja berpasukan, kemahiran bercakap di khalayak ramai dan pemikiran kritis adalah aset penting yang diperlukan setiap individu dalam kehidupan seharian.
Segala kemahiran itu bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga untuk dikongsikan pula dengan anak-anak, selain memberi sumbangan bermakna kepada masyarakat.
Dalam hal ini, saya sentiasa bersyukur dan berterima kasih kepada para guru serta rakan-rakan yang membuka peluang seluas-luasnya dan meletakkan keyakinan pada diri saya untuk terlibat aktif dalam aktiviti kokurikulum di sekolah.
Sesungguhnya, segala pengalaman berharga itu bukan sekadar memori indah tetapi sebahagian daripada identiti saya sebagai seorang penulis dan pejuang bahasa.
Hakikat ini sesuatu yang saya banggakan dan sentiasa cuba kongsi dengan generasi muda. Semoga perkongsian ini memberi inspirasi dan motivasi kepada pelajar dan menyedarkan ibu bapa tentang kepentingan serta manfaat kokurikulum untuk anak-anak.
Percayalah, anda akan menghargainya sepanjang hayat. –UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan)










