PETALING JAYA: Dakwaan bahawa projek MyKiosk sebagai ‘gajah putih’ adalah tidak tepat susulan inisiatif itu berjaya membantu meningkatkan pendapatan lebih 7,000 keluarga penjaja kecil di seluruh negara.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkata, semakan bersama semua pihak berkuasa tempatan (PBT) mendapati kadar pengisian MyKiosk 1.0 telah mencapai 91.75 peratus, manakala MyKiosk 2.0 pula mencatatkan kadar pengisian 86.78 peratus sehingga Julai 2025.
“Inisiatif berkenaan turut membantu meningkatkan pendapatan lebih 7,000 keluarga penjaja kecil di seluruh negara dengan rekod kejayaan peniaga memperoleh pendapatan sehingga RM30,000 sebulan.
“KPKT menyambut baik syor penambahbaikan yang dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung inisiatif MyKiosk bagi memperkukuh tatakelola khususnya dalam aspek kajian keperluan serta pemantauan bagi memastikan keberkesanan projek untuk jangka panjang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
KPKT berkata, walaupun dasar dan peruntukan disalurkan di peringkat Persekutuan, PBT bertindak sebagai agensi pelaksana utama yang bertanggungjawab sepenuhnya dalam menentukan lokasi strategik, melantik peniaga yang layak serta menyelenggara fasiliti MyKiosk.
Katanya, laporan SPRM turut mengenal pasti kelemahan di peringkat tersebut khususnya ketiadaan mekanisme pemantauan yang seragam sehingga menjejaskan penilaian impak projek.
“Oleh itu, KPKT mewajibkan PBT melaksanakan kajian menyeluruh sebelum pemasangan kiosk bagi memastikan lokasi mempunyai permintaan pasaran tinggi, sekali gus menjamin kelangsungan perniagaan melalui garis panduan baharu yang dikeluarkan oleh Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT).
“Prestasi PBT akan dinilai melalui sistem ‘lampu isyarat’ iaitu PBT yang gagal mencapai KPI pengisian dan pengoperasian (status merah) berdepan tindakan pembatalan peruntukan, manakala PBT cemerlang (status hijau) akan menerima insentif tambahan.
“PBT turut disaran memindahkan unit kiosk yang kurang mendapat sambutan ke lokasi yang mempunyai tumpuan orang ramai bagi mengoptimumkan penggunaan aset,” katanya.
KPKT turut memperluaskan inisiatif tersebut ke institusi pengajian tinggi (IPT) menerusi MyKiosk@Kampus bagi menyokong agenda keusahawanan siswa dan belia di kampus sebagai langkah proaktif menangani isu kesesuaian lokasi.
Semalam, SPRM mengemukakan lima syor penambahbaikan tatakelola kepada KPKT merangkumi pelaksanaan kajian keperluan secara menyeluruh.
Ia termasuk penilaian kebolehlaksanaan dan impak ekonomi, meningkatkan keberhasilan projek MyKiosk Madani dalam Petunjuk Prestasi Utama (KPI), selain menubuhkan unit pemantauan atau jawatankuasa khas bagi menilai keberkesanan serta pencapaian projek.
Dua cadangan lain melibatkan penambahbaikan Garis Panduan Inisiatif MyKiosk Madani serta pewujudan Garis Panduan Pelaksanaan Projek Pembangunan di bawah peruntukan Persekutuan yang lengkap sebagai rujukan operasi. – UTUSAN











