Harga minyak sawit mentah meningkat sederhana pada Februari - Utusan Malaysia

Harga minyak sawit mentah meningkat sederhana pada Februari

BUAH TANDAN SAWIT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga purata minyak sawit mentah (MSM) dijangka meningkat sederhana pada Februari kepada sekitar RM4,227 satu tan, naik 5.2 peratus bulan ke bulan, disokong oleh pengeluaran yang lebih rendah secara bermusim ketika tempoh pendebungaan.

MBSB Research berkata, meskipun terdapat sokongan daripada faktor bermusim, sentimen harga dijangka kekal mendatar berikutan lebihan stok yang masih berterusan di pasaran.

Menurutnya, harga purata MSM pada Januari 2026 berada pada paras RM4,019 setan, susut 0.5 peratus bulan ke bulan dan 16.5 peratus tahun ke tahun, dipengaruhi peningkatan pengeluaran serta paras stok yang masih tinggi di Malaysia dan Indonesia.

“Harga MSM tempatan bagi penghantaran tempatan menutup dagangan Januari pada RM4,222 setan, selepas pulih daripada paras terendah RM3,968 setan pada awal bulan sebelum meningkat 6.4 peratus menjelang akhir Januari.

“Pasaran mula mengambil kira kesan pertumbuhan pengeluaran dua angka dan paras stok yang tinggi, sekali gus mengehadkan potensi kenaikan harga dalam jangka terdekat,” katanya dalam nota penyelidikan.

Stok akhir Januari kekal tinggi pada sekitar 2.82 juta tan, melepasi paras psikologi dua juta tan walaupun mencatat penurunan 7.7 peratus bulan ke bulan. Namun, paras itu masih melonjak 78.1 peratus tahun ke tahun, didorong oleh pengeluaran yang kukuh.

Menurut firma penyelidikan itu, dari segi bekalan, pengeluaran MSM pada Januari merekodkan 1.58 juta tan, susut 13.8 peratus bulan ke bulan namun meningkat 27.2 peratus tahun ke tahun. 

“Peningkatan itu dipacu prestasi kukuh di Sabah dan Sarawak Timur yang berkembang 25.1 peratus tahun ke tahun, selain pertumbuhan memberangsangkan di Semenanjung khususnya Kelantan (+59.9 peratus), Terengganu (+58.8 peratus) dan Negeri Sembilan (+39.9 peratus).

“Kesemua negeri mencatat pertumbuhan pengeluaran melebihi paras belasan peratus, dengan purata hasil tandan buah segar (FFB) negara meningkat 20.9 peratus tahun ke tahun kepada 7.97 juta tan.

“Peningkatan hasil ini mencerminkan peluasan kawasan matang serta produktiviti ladang yang lebih baik, disokong keadaan cuaca yang menggalakkan. Sejajar itu, kadar perahan minyak (OER) kekal stabil pada 20.06 peratus berbanding 19.91 peratus pada Disember,” katanya.

Dari sudut permintaan, eksport minyak sawit pulih kepada 1.48 juta tan pada Januari, meningkat 12.7 peratus bulan ke bulan dan 25.8 peratus tahun ke tahun, didorong aktiviti pengisian semula stok menjelang Tahun Baharu Cina dan Ramadan.

Permintaan MSM melonjak lebih 100 peratus tahun ke tahun manakala permintaan produk olein sawit bertapis (PPO) meningkat 7.9 peratus, disokong harga MSM yang lebih rendah serta pengurangan duti efektif MSM oleh India sejak Oktober lalu. 

Bagaimanapun, sumbangan MSM kekal terhad pada 27 peratus daripada jumlah eksport minyak sawit.

Mengulas prospek keseluruhan tahun, MBSB Research mengekalkan penarafan neutral terhadap sektor perladangan dengan unjuran harga purata MSM sekitar RM4,200 setan bagi 2026.

“Ketidakseimbangan antara penawaran dan permintaan masih menjadi cabaran utama, dengan jumlah permintaan dianggarkan 1.84 juta tan berbanding penawaran 4.66 juta tan, menghasilkan nisbah stok kepada penggunaan yang tinggi sekitar 12.7 peratus.

“Sebarang pemangkin bermakna dijangka tertangguh, dengan potensi pengetatan bekalan bergantung kepada pelaksanaan lebih agresif mandat biodiesel Indonesia, khususnya cadangan B45 yang dijangka direalisasikan pada separuh kedua 2026,” katanya.

Dalam kalangan syarikat perladangan, SD Guthrie kekal menjadi pilihan dengan saranan Beli dan harga sasaran RM6.15 berbanding harga pasaran RM5.78 setakat 10 Februari 2026, disokong jangkaan pertumbuhan pengeluaran Malaysia sekitar lima peratus serta kedudukan penggearan bersih pada paras terendah sejak penyenaraian. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×