NEW YORK: Satu kajian terbaharu mendapati kira-kira 20 juta rakyat Amerika Syarikat (AS) yang menderita sindrom Long Covid berdepan risiko tinggi menghidap penyakit demensia.
Long Covid merupakan keadaan kronik yang berlarutan sekurang-kurangnya tiga bulan selepas jangkitan awal, merangkumi pelbagai simptom yang sering dipandang remeh termasuk keletihan melampau, kabut otak, sesak nafas dan kesakitan fizikal yang berpanjangan.
Walaupun tinjauan menunjukkan kira-kira lapan peratus penduduk dewasa di AS kini hidup dengan Long Covid, pemahaman mengenai kesan jangka panjang keadaan ini masih terhad.
Bagi mendalami impak tersebut, sekumpulan penyelidik di New York City menjalankan kajian terhadap lebih 80 individu dengan membandingkan pesakit Long Covid, individu sihat, serta mereka yang pulih sepenuhnya daripada jangkitan virus berkenaan.
Melalui ujian darah dan imbasan MRI, pasukan penyelidik menemui bukti fizikal yang ketara pada otak pesakit Long Covid. Mereka mendapati pesakit mengalami pembesaran sebanyak 10 peratus pada struktur choroid plexus (CP), iaitu rangkaian saluran darah yang menghasilkan cecair serebrospinal.
Cecair ini sangat kritikal bagi sistem saraf kerana ia berfungsi menyingkirkan sisa buangan dan memberikan sokongan imun kepada otak.
Pembesaran CP ini dipercayai berpunca daripada tindak balas imun jangka panjang yang menyebabkan keradangan dan kerosakan pada penghalang kritikal otak.
Apa yang lebih membimbangkan, pembesaran struktur CP ini didapati mempunyai kaitan langsung dengan penanda biologi dalam darah yang menunjukkan perkembangan penyakit Alzheimer, iaitu bentuk demensia yang paling lazim.
Kajian tersebut juga mendedahkan peserta yang mempunyai saiz CP yang lebih besar mencatatkan keputusan dua peratus lebih rendah dalam ujian kognitif berbanding individu lain.
“Ini menunjukkan kerosakan pada CP akibat Long Covid boleh menjadi petanda awal kepada kemerosotan fungsi otak yang serius,” jelas kajian itu.
Pakar Radiologi Sekolah Perubatan NYU Grossman merangkap pengarang kanan kajian tersebut, Prof. Dr. Yulin Ge menjelaskan bukti fizikal, molekul dan klinikal ini mencadangkan pembesaran CP sebagai amaran awal bagi penurunan kognitif yang menyerupai Alzheimer pada masa hadapan. -AGENSI









