27 ditahan ketika sertai tunjuk perasaan bantah lawatan Presiden Israel di Sydney

27 ditahan ketika sertai tunjuk perasaan bantah lawatan Presiden Israel di Sydney

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYDNEY: Pemimpin Australia menggesa rakyat agar kekal tenang dan menyeru agar protes kekal aman selepas berlaku pertembungan antara polis dan penunjuk perasaan yang menentang lawatan Presiden Israel, Isaac Herzog di Sydney.

Polis berkata, 27 orang ditahan, termasuk 10 orang yang didakwa menyerang pegawai, selepas rusuhan meletus pada malam Isnin apabila polis bertindak untuk menyuraikan ribuan penunjuk perasaan yang berkumpul berhampiran dewan bandar Sydney.

Penunjuk perasaan termasuk seorang ahli Parlimen pembangkang berkata, mereka telah diserang oleh pegawai polis.

Memuatkan artikel berkaitan…

Perdana Menteri, Anthony Albanese berkata, beliau berasa terkejut dengan keganasan itu dan menggesa penunjuk perasaan untuk menyuarakan pandangan mereka secara aman.

“Rakyat Australia mahukan dua perkara. Mereka tidak mahu konflik dibawa ke sini. Mereka mahu pembunuhan dihentikan, sama ada oleh Israel atau Palestin, tetapi mereka tidak mahu konflik dibawa ke sini.

“Punca-punca itu tidak dapat dicapai melalui keadaan seperti ini, ia sebenarnya menjejaskan,” kata Albanese kepada stesen radio Triple M.

Polis negeri New South Wales berkata, tiada laporan mengenai kecederaan serius. Ribuan orang berkumpul di pusat Sydney pada Isnin bagi membantah lawatan Herzog ke Australia, yang dibuat selepas kejadian tembakan rambang di acara keagamaan Yahudi di Bondi Beach pada Disember lalu yang mengorbankan 15 orang.

Lapor Reuters, polis diberi kuasa yang jarang digunakan semasa protes, termasuk mengarahkan orang ramai bergerak, menghadkan akses ke kawasan tertentu dan memeriksa kenderaan.

Cabaran undang-undang terhadap sekatan tersebut ditolak oleh mahkamah Sydney pada Isnin. Herzog tidak hadir di lokasi protes.

Rakaman televisyen menunjukkan beberapa penunjuk perasaan cuba menolak halangan sementara pegawai polis menolak mereka kembali.

Ada yang dilihat terbaring di tanah sementara polis cuba menahankan mereka. Polis menggunakan gas pemedih mata dan semburan lada untuk menyuraikan orang ramai.

Ketua negeri New South Wales, Chris Minns mempertahankan tindakan polis, mendakwa pegawai perlu membuat keputusan pantas dalam situasi tegang dan berisiko tinggi.

“Saya faham ada kritikan terhadap Polis New South Wales, saya cuma ingin menjelaskan mereka berada dalam situasi yang mustahil,” katanya pada sidang media.

Dalam kenyataan, Palestine Action Group Sydney berkata, penunjuk perasaan tidak dapat meninggalkan lokasi kerana dikelilingi polis dari semua arah.

“Polis mula menyerbu orang ramai dengan kuda, menyembur lada secara sembarangan, menumbuk dan menahan orang,” kata kumpulan itu.

Ahli Parlimen Green dari pihak pembangkang di dewan negeri, Abigail Boyd berkata, beliau ditumbuk oleh pegawai polis semasa cuba meninggalkan lokasi.

“Saya mengalami sakit yang teruk di lengan dan bahu di tempat mereka menumbuk saya. Saya benar-benar terkejut,” katanya pada sidang media.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×