Kluster baharu tibi di Kota Tinggi jadi ‘wake up call’

Kluster baharu tibi di Kota Tinggi jadi ‘wake up call’

DR. DZULKEFLY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kes kluster baharu jangkitan tuberkulosis (tibi) di Kota Tinggi, Johor yang membabitkan 37 individu membuktikan bahawa penularan wabak itu boleh berlaku di mana-mana sahaja.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, jangkitan tibi boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira lokasi termasuk di luar bandar sekiranya terdedah kepada bakteria Mycobacterium tuberculosis yang merebak melalui udara.

“Ini satu kes yang menjadi ‘wake up call’ kepada kita semua. Ia menunjukkan kemunculan semula penyakit berjangkit ini. Kluster berkenaan bermula pada 25 Januari lalu dengan kes indeks membabitkan seorang wanita warga emas berusia 72 tahun yang merupakan guru al-Quran.

“Beliau pula berdepan dengan pelajarnya daripada pelbagai kumpulan dan sehingga 7 Februari, sebanyak 37 kes dikesan melibatkan 29 kanak-kanak dan lapan dewasa.

“Daripada jumlah itu, 36 kes dikesan aktif. Susulan itu, pasukan kesihatan menjalankan pengesanan kontak dan seramai 903 kontak rapat telah dikenal pasti serta menjalani saringan tibi,” katanya ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) berhubung perincian kes kluster tibi di Kota Tinggi dan faktor penularannya di kawasan luar bandar.

Dzulkefly turut mengingatkan bahawa wabak tibi boleh menjangkiti sesiapa sahaja yang terdedah kepada bakteria Mycobacterium tuberculosis.

“Kenapa di Kota Tinggi? Tempat yang tidak sibuk, di situlah kita perlu ambil perhatian. Apabila kes ini agak unik, maka kita kaji mengapa tercetus indeks kes dan sebagainya. Ia terkait dengan imuniti. Jadi boleh berlaku di mana sahaja dan kepada sesiapa pun.

“Kita mungkin terdedah kepada mikro bakteria itu, tapi ia berlaku secara senyap. Namun, apabila berlaku sesuatu pada kita di mana imuniti badan turun mendadak, mikro bakteria tersebut akan ‘flare up’ dan di sinilah berlakunya kes,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×