Keadilan mungkin lambat tetapi tidak pernah lupus

Keadilan mungkin lambat tetapi tidak pernah lupus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM setiap skandal rasuah berskala besar, satu perkara sering berulang iaitu rakyat menjadi letih menunggu.

Kes demi kes berlarutan, siasatan memakan masa bertahun-tahun, dan akhirnya timbul persoalan, adakah keadilan benar-benar akan ditegakkan atau sekadar menjadi slogan kosong?

Namun, sejarah undang-undang dan pengalaman global mengajar kita satu hakikat yang tidak boleh dinafikan iaitu rasuah tidak pernah menguntungkan dalam jangka panjang dan tiada had masa untuk pendakwaan jenayah.

Lambat atau cepat, kebenaran pasti akan muncul, selagi institusi penguatkuasaan diberi ruang, keberanian dan kebebasan untuk melaksanakan tugas mereka.

 

KEADILAN LAMBAT BUKAN BERERTI KEADILAN GAGAL

Siasatan sememangnya tidak mudah dalam kes rasuah kompleks seperti projek mega, perolehan pertahanan atau kontrak antarabangsa kerana melibatkan rangkaian kewangan yang rumit, saksi di luar negara, dokumen rentas sempadan serta perjanjian yang disengajakan untuk mengaburkan jejak.

Apabila siasatan melibatkan saksi asing dan dokumen luar negara, cabarannya berlipat kali ganda. Kerjasama perundangan antara negara, proses bantuan perundangan bersama (mutual legal assistance), perbezaan undang-undang dan birokrasi antarabangsa. Semua ini memerlukan masa. Dalam konteks ini, tidak adil untuk menuntut keputusan segera tanpa memahami realiti siasatan forensik berskala besar.

Namun begitu, kelewatan tidak boleh dijadikan alasan untuk kelemahan, apatah lagi kegagalan. Rakyat berhak menuntut kejelasan, ketelusan dan kemajuan yang nyata.

SISTEM TIDAK BERSALAH TETAPI MANUSIA YANG MEROSAKKANNYA

Satu naratif yang sering digunakan untuk melarikan diri daripada tanggungjawab ialah menyalahkan sistem. Hakikatnya, sistem itu tidak kelihatan dan tidak bernyawa. Ia tidak membuat keputusan sendiri. Ia tidak menerima rasuah. Ia tidak menandatangani kontrak meragukan.

Manusialah yang membina sistem. Manusialah yang mengendalikannya dan memanipulasinya untuk kepentingan peribadi.

Oleh itu, apabila berlaku kebocoran, salah guna kuasa atau rasuah sistemik, maka punca sebenar bukanlah sistem semata-mata tetapi individu-individu yang menjalankan sistem tersebut dengan niat jahat.

Prinsip keadilan menuntut supaya mereka yang menyalahgunakan kuasa sama ada di peringkat pembuat keputusan, pelaksana atau pelindung diheret ke muka pengadilan.

Menangkap individu yang ‘mengendalikan sistem’ untuk kepentingan diri adalah satu-satunya cara untuk menghantar mesej jelas bahawa tiada siapa kebal daripada undang-undang.

FORENSIK TANPA GANGGUAN

Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) berpendirian siasatan forensik yang bebas, profesional dan tanpa campur tangan mampu mempercepatkan penyelesaian kes rasuah besar. Rekod kewangan tidak menipu. Aliran wang meninggalkan jejak. Kontrak, minit mesyuarat dan kelulusan rasmi menyimpan bukti yang tidak boleh dipadam sepenuhnya.

Masalah timbul apabila wujud campur tangan luaran, sama ada secara langsung atau tidak langsung. Ini termasuk kelewatan proses di peringkat pendakwaan, kekurangan maklumat yang dikemukakan atau taktik melengah-lengahkan keputusan dengan alasan teknikal.

Peranan pihak pendakwaan amat kritikal. Jika wujud kelemahan maklumat maka ia perlu diperbetulkan dengan pantas. Jika wujud unsur kelewatan yang disengajakan, ia bukan sahaja menjejaskan keadilan, malah melemahkan keyakinan rakyat terhadap keseluruhan sistem perundangan.

Keadilan yang tertangguh terlalu lama berisiko berubah menjadi keadilan yang dinafikan.

 

RASUAH mungkin mengambil masa untuk dibongkar tetapi tidak akan terlepas daripada keadilan.

 

STRATEGI UNDANG-UNDANG, BUKAN PENGAMPUNAN MORAL

Isu saksi pendakwa (crown witness) sering disalah faham oleh masyarakat. Ia bukan jalan mudah untuk melepaskan pesalah dan bukan tiket kebebasan moral tetapi strategi undang-undang untuk memecahkan rangkaian rasuah yang lebih besar.

Dalam banyak kes antarabangsa, penggunaan saksi pendakwa berjaya:

– Mendedahkan dalang sebenar.
– Membongkar struktur rasuah sistemik.
– Memulihkan semula dana awam yang dicuri.
Namun, penggunaan strategi ini mesti dilakukan secara berhati-hati, telus dan dengan justifikasi yang kukuh. Matlamatnya bukan melindungi penjenayah kecil tetapi menumbangkan arkitek utama rasuah.

TIADA PANGKAT, PERSARAAN, KEKEBALAN

MCW ingin menegaskan prinsip asas ini iaitu tiada pangkat yang terlalu tinggi, tiada jawatan yang terlalu mulia dan tiada persaraan yang mampu memadamkan tanggungjawab jenayah.

Seseorang tidak menjadi bersih hanya kerana bersara. Masa tidak memadamkan dosa jenayah. Undang-undang wujud untuk memastikan keadilan tidak tunduk kepada status, gelaran atau sejarah perkhidmatan.

Jika tidak, mesej yang sampai kepada masyarakat amat berbahaya. Mereka mungkin beranggapan kuasa boleh membeli masa dan masa boleh membeli keampunan.

Akhirnya, perjuangan menentang rasuah bukan sekadar soal undang-undang sebaliknya berkait rapat dengan moral, budaya dan nilai. Ia menuntut keberanian daripada penguat kuasa, integriti daripada pendakwa dan kesabaran serta kewaspadaan daripada rakyat.

MCW percaya negara ini mampu dibersihkan daripada rasuah sistemik sekiranya kebenaran tidak dikompromi dan keadilan tidak diperdagangkan.

Kita berdoa agar Allah SWT memelihara negara yang dicintai ini, menguatkan mereka yang jujur dan membuka kebenaran walau setebal mana pun ia disembunyikan.

Kerana pada akhirnya, rasuah tidak pernah menguntungkan. Harus sedar yang keadilan, walau lambat, tetap akan menuntut bahagiannya.-UTUSAN

 

PENULIS ialah Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×