KES penderaan di pusat pengasuhan dan taman asuhan kanak-kanak (taska) kini semakin membimbangkan masyarakat.
Setiap laporan yang diterima bukan sahaja mengejutkan, malah menimbulkan persoalan serius tentang keselamatan anak-anak kecil.
Baru-baru ini, tular satu rakaman video di sebuah taska menunjukkan bayi dicampak, digolek dan ditampar pengasuh. Insiden ini mencetuskan kemarahan ramai dan menimbulkan trauma kepada ibu bapa.
Jika kejadian seperti ini berlaku di taska berdaftar, bagaimana pula dengan taska yang tidak berdaftar dan kurang diawasi?
Persoalan ini menimbulkan keresahan kepada ibu bapa yang bekerja sepenuh masa dan bergantung sepenuhnya kepada taska untuk menjaga anak-anak mereka.
Di manakah mereka boleh menghantar anak-anak kecil dengan selamat sekiranya pusat pengasuhan pun berisiko?
Taska dan tadika memainkan peranan utama dalam memastikan anak-anak mendapat pengalaman awal yang positif.
Namun, situasi hari ini amat membimbangkan apabila terdapat beberapa taska dikesan terlibat dalam kes penderaan terhadap kanak-kanak kecil.
Situasi ini menuntut tindakan tegas dan proaktif daripada pihak berkuasa, pengusaha taska, dan masyarakat secara keseluruhan.
Keselamatan kanak-kanak adalah keutamaan utama di semua taska dan tadika.
Oleh itu, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) membolehkan pemantauan berterusan terhadap anak-anak bagi memastikan mereka berada dalam persekitaran yang selamat.
Dengan CCTV, guru dan pengasuh dapat memantau aktiviti harian kanak-kanak, mengelakkan kemalangan atau insiden yang tidak diingini serta memastikan prosedur keselamatan dipatuhi.
Ibu bapa juga boleh merasa lebih tenang kerana mereka dapat mengawasi anak-anak mereka dari jauh atau melihat rakaman sekiranya berlaku sesuatu yang mencurigakan.
CCTV bukan sahaja untuk keselamatan fizikal tetapi juga membantu meningkatkan kualiti pengasuhan.
Ia membolehkan pentadbir menilai keberkesanan pengajaran dan cara pengasuh berinteraksi dengan kanak-kanak.
Pemasangan CCTV juga berfungsi sebagai bukti sekiranya berlaku pertikaian atau aduan mengenai pengurusan dan keselamatan di taska atau tadika, seterusnya memastikan akauntabiliti pihak pengurusan.
Namun, yang paling utama adalah emosi seseorang pengasuh perlulah dalam keadaan baik dalam menjaga kanak-kanak.
Oleh itu, mewajibkan ujian saringan kesihatan mental terhadap bakal pengasuh, bagi memastikan hanya individu yang stabil secara emosi dibenarkan menjaga kanak-kanak.
Langkah pencegahan ini amat penting terutamanya bagi menangani kes-kes penderaan atau jenayah seksual terhadap kanak-kanak.
Di samping itu, kerajaan juga disarankan menetapkan ujian psikologi sebagai syarat mandatori dalam pengambilan pengasuh, supaya ibu bapa yakin anak-anak mereka dijaga oleh pengasuh yang berintegriti.
Dengan pendekatan ini, pihak pengurusan taska dapat membuat pemilihan pengasuh secara lebih teliti dan berhemah, sekali gus memberi jaminan kepada ibu bapa bahawa anak-anak mereka berada dalam jagaan yang selamat dan menyenangkan.
Setakat ini, tiada peruntukan atau ketetapan rasmi yang mewajibkan ujian psikologi ke atas pengasuh taska di peringkat nasional namun terdapat pusat pengasuhan tertentu yang melaksanakannya secara sukarela.

WAJIB SYARAT AMBIL PENGASUH
Presiden Persatuan Pengasuhan dan Perkembangan Awal Kanak-kanak Berdaftar Malaysia, Prof. Norsheila Abdullah berkata, ujian psikologi asas wajar dijadikan syarat pengambilan pengasuh khususnya bagi individu yang bekerja dengan bayi dan kanak-kanak kecil.
Katanya, kanak-kanak berumur antara sifar hingga empat tahun merupakan golongan paling rentan kerana tidak mampu bersuara serta bergantung sepenuhnya kepada pengasuh, ibu bapa dan penjaga.
“Ujian psikologi bukan bertujuan menghukum, sebaliknya untuk menilai kestabilan emosi dan keupayaan kawalan tekanan, mengesan kecenderungan agresif atau trauma yang tidak dirawat serta menentukan kesesuaian individu dengan persekitaran pengasuhan kanak-kanak
“Ujian tersebut perlu dilaksanakan secara profesional dan berkala, selain disokong dengan latihan kesihatan mental, kaunseling serta sokongan tempat kerja secara berterusan bagi mewujudkan suasana kerja yang sihat dan selamat di taska.
“Keselamatan kanak-kanak tidak boleh bergantung kepada sijil semata-mata tetapi kepada kesejahteraan dan kesiapsiagaan mental pengusaha, penyelia dan pengasuh.
“Faktor keletihan melampau atau burnout yang sering berpunca daripada tekanan sosioekonomi juga perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak, termasuk ibu bapa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Norsheila, pemasangan CCTV di taska wajar diwajibkan sebagai langkah pencegahan dan pemantauan namun pelaksanaannya perlu dibuat secara berperingkat, beretika serta tertakluk kepada peraturan yang jelas.
Menurut beliau, CCTV bukan bertujuan menggantikan integriti serta profesionalisme pengasuh, sebaliknya berfungsi sebagai lapisan perlindungan tambahan kepada kanak-kanak, pengasuh dan pengusaha pusat pengasuhan.
Namun, beliau berpandangan pemberian akses langsung kepada ibu bapa menerusi siaran langsung tidak wajar dilaksanakan secara terbuka kerana melibatkan isu privasi kanak-kanak dan pekerja.
Selain itu, kaedah tersebut juga berisiko menimbulkan salah tafsiran terhadap sesuatu situasi tanpa konteks profesional yang tepat.
“Sebagai pendekatan lebih seimbang, kami mencadangkan pemasangan CCTV diwajibkan di ruang umum taska, dengan rakaman disimpan dan hanya boleh diakses oleh pengusaha, pihak berkuasa serta ibu bapa sekiranya terdapat aduan rasmi,” katanya.
Beliau turut menegaskan keperluan kerajaan menggubal garis panduan nasional bagi memastikan penggunaan CCTV di taska dilaksanakan secara beretika, selamat dan tidak disalah guna.
“Pendekatan ini lebih seimbang kerana mengambil kira aspek perlindungan kanak-kanak, hak pekerja dan kepercayaan ibu bapa,” katanya.-UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.










