SpaceX alih tumpuan daripada Marikh ke bulan

SpaceX alih tumpuan daripada Marikh ke bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: SpaceX meletakkan matlamat lamanya untuk menghantar manusia ke Marikh sebagai keutamaan kedua bagi memberi fokus kepada usaha membangunkan penempatan di bulan.

Syarikat angkasa lepas milik bilionair kelahiran Afrika Selatan, Elon Musk itu mencatat kejayaan besar sebagai kontraktor Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA), namun rancangan beliau untuk menjajah Marikh sejak sekian lama dikritik sebagai terlalu bercita-cita tinggi.

Langkah itu juga menyaksikan Musk kini sehaluan dengan perubahan dasar Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang beralih daripada misi menghantar rakyat AS ke Marikh.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagi yang tidak menyedari, SpaceX telah pun mengalihkan tumpuan kepada pembinaan sebuah bandar yang mampu berkembang sendiri di bulan kerana ia berpotensi dicapai dalam tempoh kurang daripada 10 tahun, manakala Marikh memerlukan lebih 20 tahun,” kata Musk dalam satu hantaran di X.

Menurut Musk, antara cabaran utama ke Marikh ialah perjalanan hanya boleh dilakukan apabila kedudukan planet sejajar setiap 26 bulan.

“Ke bulan pula, kita boleh melancarkan misi setiap 10 hari,” tambahnya.

Musk sebelum ini beberapa kali tersasar daripada anggaran masa yang dibuatnya sendiri mengenai kemungkinan menghantar manusia ke Planet Merah.

Pada 2016, beliau berkata, penumpang boleh berlepas ke Marikh seawal 2024, sekiranya pembiayaan dan perancangan roket berjalan lancar.

Ramalan itu dibuat selepas beliau memberitahu Wall Street Journal pada 2011 bahawa angkasawan SpaceX akan sampai ke Marikh dalam tempoh 10 tahun dalam senario terbaik, atau 15 hingga 20 tahun dalam senario terburuk.

Dalam satu perintah eksekutif mengenai dasar angkasa lepas AS lewat tahun lalu, Trump menyatakan hasrat untuk membawa rakyat AS ke bulan menjelang 2028 di bawah program Artemis NASA, yang turut melantik SpaceX sebagai kontraktor.

Ia menandakan perubahan daripada kenyataan Trump sebelum ini yang mahu memacak bendera AS di Marikh sebelum tamat penggal empat tahunnya.

Ketika ini, rakyat AS dijadualkan kembali ke permukaan bulan pada pertengahan 2027 menerusi misi Artemis 3, namun garis masa itu berulang kali ditangguhkan.

Pakar industri menjangkakan ia akan ditunda lagi kerana pendarat bulan yang sedang dibangunkan oleh SpaceX masih belum siap.

“Akses yang lebih mudah ke bulan membolehkan kami membuat penambahbaikan dengan lebih pantas untuk menyiapkan sebuah bandar di bulan berbanding di Marikh,” kata Musk.

Bagaimanapun, beliau menegaskan SpaceX tidak akan meninggalkan rancangan ke Marikh, sambil menyatakan syarikat itu akan terus berusaha membina sebuah bandar di planet itu dan mula berbuat demikian dalam tempoh kira-kira lima hingga tujuh tahun.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×