Krisis tenaga paksa Cuba henti isi bahan api pesawat

Krisis tenaga paksa Cuba henti isi bahan api pesawat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HAVANA: Cuba memberi amaran kepada syarikat penerbangan negara itu akan menggantung bekalan bahan api jet selama sebulan susulan krisis tenaga yang dicetuskan oleh tindakan Amerika Syarikat (AS) terhadap Venezuela, lapor pegawai syarikat penerbangan Eropah.

Cuba memaklumkan kepada syarikat penerbangan yang beroperasi di pulau itu, bermula tengah malam Isnin hingga Selasa, mereka tidak lagi dibenarkan mengisi bahan api di negara tersebut, kata pegawai berkenaan kepada AFP dengan syarat identitinya dirahsiakan.

Cuba kini bergelut dengan kesan penghentian penghantaran minyak dari Venezuela yang diarahkan Washington selepas tentera AS menawan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro.

Pesawat yang melakukan penerbangan jarak jauh dari Cuba kini perlu singgah di lokasi lain selepas berlepas dari pulau itu bagi mendapatkan bekalan bahan api jet tambahan, menurut pegawai tersebut yang memetik kenyataan pihak berkuasa penerbangan Cuba.

Air France memberitahu AFP, pesawatnya akan singgah di lokasi lain di Caribbean untuk mengisi bahan api.

Kerajaan Cuba pada Jumaat mengumumkan langkah kecemasan bagi menangani krisis tenaga di pulau itu, termasuk pengenalan minggu kerja empat hari bagi syarikat milik negara serta sekatan penjualan bahan api.

Langkah penjimatan itu turut merangkumi pengurangan perkhidmatan bas dan kereta api antara wilayah, serta penutupan beberapa kemudahan pelancongan.

Hari persekolahan juga akan dipendekkan dan universiti akan melonggarkan keperluan kehadiran secara fizikal.

Washington meningkatkan tekanan terhadap kerajaan komunis Cuba dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

AS menghentikan penghantaran minyak daripada Venezuela, sekutu utama Havana, selepas penyingkiran Maduro pada awal Januari.

Presiden AS, Donald Trump, turut menandatangani perintah eksekutif yang membolehkan negaranya mengenakan tarif terhadap negara-negara yang menjual minyak kepada Havana.

Trump berkata, Mexico, yang membekalkan minyak kepada Cuba sejak 2023, akan menghentikan bekalan tersebut di bawah ancaman tarif AS.

Kekurangan minyak itu mengancam untuk menjerumuskan Cuba ke dalam kegelapan sepenuhnya, dengan loji jana kuasa bergelut untuk terus membekalkan elektrik.

Washington sejak sekian lama berusaha untuk menggulingkan atau melemahkan kerajaan komunis Cuba.

Havana menuduh Trump mahu melumpuhkan ekonomi pulau itu, di mana gangguan bekalan elektrik dan kekurangan bahan api yang sudah kerap berlaku sejak beberapa tahun lalu kini menjadi semakin parah.

Presiden Cuba, Miguel Diaz-Canel berkata, negaranya bersedia untuk mengadakan rundingan dengan AS tetapi bukan di bawah tekanan.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×