GAZA: Kira-kira 180 rakyat Palestin meninggalkan Semenanjung Gaza sejak pembukaan semula secara terhad pintu sempadan Rafah dengan Mesir seminggu lalu, menurut pegawai di wilayah itu.
Pintu Rafah, satu-satunya laluan keluar penduduk Gaza ke dunia luar yang tidak melalui Israel, dibuka semula untuk pergerakan orang ramai pada 2 Februari lalu, hampir dua tahun selepas tentera Israel merampas kawalan pintu tersebut semasa perang dengan Hamas.
Menurut Ketua Pejabat Media yang dikendalikan Hamas, Ismail al-Thawabteh, antara Isnin hingga Khamis, seramai 135 orang menyeberang dari Gaza ke Mesir melalui pintu itu, kebanyakannya pesakit dan pengiring mereka.
“Statistik rasmi pergerakan di pintu Rafah dari Isnin, 2 Februari 2026, hingga Khamis, 5 Februari 2026, menunjukkan sekatan perjalanan yang sangat ketat,” katanya.
Beliau berkata, pintu sempadan itu turut ditutup pada Jumaat dan Sabtu.
Pada Ahad, seramai 44 lagi penduduk Gaza meninggalkan wilayah itu melalui pintu berkenaan ke Mesir, menurut Pengarah Hospital Al-Shifa, Mohammed Abu Salmiya, hospital utama di wilayah tersebut.
Mereka termasuk 19 pesakit, manakala selebihnya merupakan pengiring, tambahnya.
Sumber di pihak Mesir di sempadan turut mengesahkan angka berkenaan bagi mereka yang melalui pintu masuk itu pada Ahad.
Ia menjadikan jumlah keseluruhan kepada 179 orang yang keluar dari Semenanjung Gaza.
“Anak saya cedera semasa perang dan plat logam dipasang di kakinya selama setahun setengah. Mereka memberitahu kami plat itu perlu dikeluarkan bagi mengelakkan kerosakan lanjut,” kata seorang bapa, Rajaa Abu al-Jadian kepada AFP ketika bersiap sedia untuk keluar melalui pintu Rafah awal Ahad.
Perjalanan melalui pintu Rafah juga berlaku dalam arah bertentangan, dengan puluhan orang kembali ke Gaza dalam tempoh sama.
Thawabteh memberitahu AFP, 88 orang memasuki Semenanjung Gaza dari Mesir sejak pintu itu dibuka semula, kebanyakannya bertemu semula dengan keluarga mereka dalam suasana penuh emosi.
Israel membenarkan pembukaan semula pintu Rafah pada Isnin, dilaporkan susulan tekanan Amerika Syarikat (AS), namun setakat ini hanya mengehadkan pergerakan kepada pesakit dan ahli keluarga yang mengiringi mereka.
Pembukaan semula Rafah telah lama dituntut oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan organisasi bantuan, serta menjadi elemen penting dalam pelan gencatan senjata Gaza oleh Presiden AS, Donald Trump ketika keadaan kemanusiaan di wilayah itu kekal kritikal.
Bagi ribuan rakyat Palestin yang sakit dan cedera, pembukaan semula pintu sempadan itu menawarkan peluang yang jarang diperoleh untuk mendapatkan rawatan perubatan di Mesir atau di tempat lain.
Mohammed Abu berkata, minggu lalu kira-kira 20,000 pesakit di Gaza memerlukan rawatan segera, termasuk 4,500 kanak-kanak.-AFP










