Lemon Law lindung pengguna, mendisiplinkan pasaran

Lemon Law lindung pengguna, mendisiplinkan pasaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELINDUNGI hak dan kepentingan pengguna terus menjadi agenda utama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) apabila Datuk Armizan Mohd. Ali ketika majlis perutusan tahun baharu 2026 mengumumkan untuk menggubal serta meminda beberapa undang-undang utama pada tahun ini.

Langkah ini bagi memperkukuh perlindungan pengguna dan memastikan ekosistem perdagangan lebih adil serta mampan.

Antara yang menarik perhatian ialah cadangan penggubalan Lemon Law sebagai reformasi penting dalam usaha memperkukuh sistem perlindungan pengguna di Malaysia.

Lemon Law adalah undang-undang yang menyediakan hak tebus rugi kepada pembeli kenderaan bermotor dan barangan pengguna lain untuk mendapatkan remedi terhadap produk yang berulang kali rosak dan gagal memenuhi standard kualiti dan prestasi.

Remedi yang boleh dituntut pengguna atau pembeli melibatkan pembaikan, penggantian, pengurangan harga atau pembayaran balik.

Sebagai permulaan, pihak kementerian menyasarkan untuk pembelian kenderaan baharu yang mana penggubalan peruntukan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 membolehkan kita menetapkan prosedur dan mekanisme penyelesaian pertikaian tuntutan tebus rugi yang lebih adil dan bertanggungjawab.

Ironinya, sebagai pengguna, pengalaman memiliki kenderaan baharu yang kerap rosak bukan sahaja membebankan dari segi kewangan tetapi turut memberi tekanan emosi kepada pemilik. Misalnya, ada yang terpaksa berulang-alik ke pusat servis, mengambil cuti kerja, selain menanggung ansuran bulanan walaupun kenderaan tidak dapat digunakan sepenuhnya.

Lebih mengecewakan apabila kebanyakkan aduan dan rungutan pengguna berakhir dengan pembaikan sementara tanpa penyelesaian muktamad. Dalam situasi sebegini, pengguna sering berada di pihak yang lemah, manakala pengeluar atau pengedar mempunyai kelebihan dari segi teknikal dan perundangan. Maka inilah jurang yang cuba dirapatkan oleh KPDN melalui penggubalan Lemon Law.

Kekuatan utama akta ini dilihat terletak pada klausa tafsiran hak pengguna yang diperuntukkan secara khusus melalui undang-undang yang lebih jelas dan spesifik. Hal ini cukup signifikan kerana akta ini membolehkan pengguna tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada tafsiran jaminan yang kabur atau budi bicara pengeluar semata-mata.

Undang-undang ini akan menetapkan kriteria jelas tentang bila sesuatu produk dianggap rosak atau gagal berfungsi, serta bentuk penyelesaian yang wajib ditawarkan.

Antara perlindungan praktikal yang diberikan kepada pengguna termasuk hak untuk menuntut pembaikan muktamad dalam tempoh masa munasabah, mendapatkan penggantian produk jika kerosakan berulang atau menerima pemulangan wang sekiranya kegagalan produk menjejaskan fungsi utama atau keselamatan.

Umumnya, Lemon Law juga mengurangkan beban kewangan dan psikologi pengguna yang selama ini terpaksa menanggung kos tambahan, kehilangan masa dan tekanan emosi. Lebih penting, ia mewujudkan imbangan kuasa antara pengguna dan pengeluar, sekali gus memperbaiki hubungan pasaran secara keseluruhan.

Walaupun Malaysia sudah mempunyai Akta Perlindungan Pengguna, namun masih memerlukan akta baharu seperti ini bagi menangani kelompangan yang wujud.

Hal ini wajar kerana banyak kes melibatkan kenderaan dan produk tertentu gagal diselesaikan secara tuntas.

Realitinya, proses aduan yang panjang, keperluan bukti teknikal yang sukar diperoleh serta jurang kuasa antara pengguna dan industri sering menyebabkan pengguna terpaksa mengalah. Justeru, Lemon Law hadir tepat pada masanya bukan untuk menggantikan undang-undang sedia ada tetapi sebagai pelengkap yang memberi perlindungan lebih bersasar dan berkesan.

Pemilihan kenderaan baharu sebagai fokus awal adalah langkah pragmatik KPDN setelah meneliti realiti kes yang berlaku. Hakikatnya, kenderaan merupakan pembelian bernilai tinggi bagi kebanyakan isi rumah, melibatkan komitmen kewangan jangka panjang serta berkait rapat keselamatan nyawa pengguna dan orang awam.

 

PENGGUBALAN Lemon Law mencerminkan komitmen kerajaan untuk menutup jurang perlindungan pengguna, khususnya dalam pembelian bernilai tinggi seperti kenderaan baharu. – GAMBAR HIASAN

 

MUDAH DIPANTAU

Selain itu, aduan pengguna berkaitan kenderaan boleh dikatakan terus meningkat secara konsisten setiap tahun. Tambahan pula, industri automotif juga mempunyai struktur pengeluar, pengedar dan pusat servis yang teratur, menjadikan pelaksanaan Lemon Law lebih mudah dipantau dan dinilai pada peringkat awal.

Pendekatan berperingkat ini akan membolehkan pihak kementerian dapat menilai keberkesanan pelaksanaan undang-undang baharu ini sebelum mempertimbangkan peluasan skop kepada produk lain.

Di Amerika Syarikat (AS)misalnya, undang-undang ini membolehkan pengguna menuntut penggantian atau bayaran balik jika kenderaan gagal dibaiki selepas beberapa percubaan dalam tempoh tertentu.

Australia pula memperkukuh hak pengguna melalui jaminan mandatori yang tidak terikat sepenuhnya kepada syarat jaminan pengeluar.

Pengalaman negara-negara ini membuktikan perlindungan pengguna yang kukuh meningkatkan keyakinan pasaran dan disiplin industri.

Justeru, sebagai pengguna kita wajar menyokong penuh hasrat ini untuk menggubal Lemon Law pada tahun ini dan diharap dapat mengadakan sesi libat urus yang sewajarnya dengan pihak industri bagi meredakan kebimbangan mereka.

Hal ini penting kerana kita tidak mahu undang-undang ini dilihat tidak mengimbangi hak dan kepentingan pihak industri kerana kebimbangan utama mereka ialah terhadap aspek kos pematuhan dan potensi tuntutan berlebihan dari pengguna.

Namun, kebimbangan ini boleh ditangani melalui takrif undang-undang yang jelas, had tuntutan munasabah serta proses penilaian teknikal yang telus.

Hakikatnya, Lemon Law tidak bertujuan menghukum, sebaliknya mendisiplinkan pasaran. Pengeluar yang beretika, telus dan yakin dengan mutu produk tidak perlu bimbang. Malah, undang-undang ini boleh menjadi pemangkin peningkatan kawalan kualiti, inovasi dan perkhidmatan selepas jualan.

Dalam konteks ini, keberkesanan Lemon Law tidak hanya bergantung kepada peruntukan undang-undang tetapi juga kepada aspek penguatkuasaan. Misalnya, peranan KPDN serta Tribunal Tuntutan Pengguna perlu diperkukuh melalui garis panduan yang jelas, tempoh masa penyelesaian munasabah dan mekanisme penilaian teknikal yang bebas.

Cadangan seperti penubuhan panel penilai bebas, takrif jelas ‘kerosakan berulang’, had masa pembaikan maksimum serta sistem aduan digital bersepadu boleh memastikan Lemon Law berfungsi dengan cekap dan berkesan.

Tuntasnya, pasaran yang adil tidak boleh bergantung kepada kepercayaan semata-mata, sebaliknya perlu disokong dengan undang-undang yang melindungi pihak paling lemah.

Lemon Law bakal mencerminkan kematangan dasar negara dalam mengimbangi kepentingan pengguna dan industri.

Pelaksanaannya secara telus, berperingkat dan berkesan, bukan sahaja melindungi pengguna, malah mampu mengangkat standard pasaran Malaysia ke tahap yang lebih adil, selamat dan berintegriti.-UTUSAN

 

PENULIS ialah Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat) Pusat Strategi Dan Perhubungan Korporat (PSPK), Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×