PETALING JAYA: Kadar bantut kanak-kanak bawah lima tahun meningkat daripada 19 peratus pada 2000 kepada lebih 24 peratus pada 2024, lebih tinggi berbanding Indonesia (22.6 peratus), Kemboja (22 peratus), Vietnam (19.2 peratus) dan Thailand (12.3 peratus).
Badan penyelidikan global bukan berasaskan keuntungan, Our World in Data itu, mendedahkan Malaysia merupakan satu-satunya negara yang mencatatkan kemunduran dalam isu bantut kanak-kanak sepanjang dua dekad lalu berbeza dengan Bangladesh, Laos, Kemboja, Indonesia, Filipina, Vietnam dan Thailand yang menunjukkan peningkatan.
Bagaimanapun Pakar kesihatan awam Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Aidalina Mahmud berkata, masalah bantut di Malaysia bukan berpunca daripada kekurangan makanan semata-mata, sebaliknya daripada kegagalan struktur sosial dan dasar awam menangani kemiskinan secara bermaruah dan berkesan.
Katanya, tinjauan kesihatan kebangsaan menunjukkan ramai kanak-kanak mengalami kekurangan zat mikro walaupun kelihatan cukup makan, suatu keadaan dikenali sebagai ‘kelaparan tersembunyi’ ini lazim berlaku di negara membangun sederhana seperti Malaysia.
“Dalam dua dekad kebelakangan ini, beberapa perkara berlaku serentak antaranya kos sara hidup meningkat lebih cepat daripada pendapatan isi rumah berpendapatan rendah, terutama di kawasan bandar dan pinggir bandar.
“Peningkatan bantut mungkin kerana semakin ramai keluarga tidak mampu menyediakan kehidupan yang stabil dan konsisten untuk anak kecil, terutama dalam tahun-tahun awal kehidupan.
“Data pendapatan dan perbelanjaan isi rumah menunjukkan keluarga berpendapatan rendah (B40) semakin terpaksa memilih makanan berdasarkan harga, bukan nilai zat.
“Akibatnya, makanan murah yang mudah diperoleh selalunya mengenyangkan, tetapi rendah kualiti pemakanan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kajian Our World in Data itu membabitkan Malaysia dengan tujuh negara Asia Tenggara lain dengan Bangladesh.
Selain memberi tumpuan kepada isu bantut, penyelidikan itu berkenaan turut mendedahkan trend masalah kanak-kanak lain seperti pembaziran (wasting), berat badan berlebihan dan kekurangan zat mikro.
Aidalina berkata, tekanan ekonomi yang terus menekan ibu bapa terpaksa menyebabkan mereka untuk bekerja lebih lama.
“Keadaan itu menyebabkan masa dan tenaga ibu bapa untuk menyediakan makanan berkhasiat, memantau pemakanan anak, dan memberi rangsangan awal semakin terhad.
“Faktor-faktor ini telah lama dikenal pasti oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) sebagai penentu sosial utama kepada tumbesaran kanak-kanak,” katanya.
Katanya, keadaan bantut di bandar juga sudah semakin ketara walaupun masalah bantut dahulunya lebih tertumpu di luar bandar.
“Selama ini, bantut sering dianggap masalah luar bandar namun realitinya, bantut semakin ketara dalam kalangan keluarga miskin bandar, terutama yang tinggal di perumahan kos rendah dan kawasan berpenduduk padat
“Di bandar, makanan berkhasiat memang ada, tetapi tidak mampu dibeli secara konsisten kerana kos perumahan, pengangkutan dan penjagaan anak boleh menghakis bajet keluarga. Bagi luar bandar, bantut masih berkait dengan kemiskinan dan kekangan akses perkhidmatan,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Perubatan dan Pakar Pediatrik Endokrin, Dr. Lee Yee Lin berkata, cara paling berkesan untuk mengatasi masalah terbantut adalah dengan memberi tumpuan kepada nutrisi ibu dan anak dalam tempoh dari permulaan konsepsi hingga umur dua tahun.
Beliau berkata, ibu hamil perlu mendapat akses kepada suplemen seperti zatbesi, folik acid dan pemakanan berkhasiat yang berpadat kalori.
“Penyusuan susu ibu secara eksklusif selama enam bulan pertama penting bagi menguatkan sistem imun bayi sebelum diteruskan dengan pemakanan pelengkap yang pelbagai dan kaya protein, vitamin serta mineral bersama susu ibu.
“Dalam masa sama, pemeriksaan kesihatan dan imunisasi secara berkala di klinik perlu dilaksanakan bagi mencegah penyakit berjangkit serta membolehkan masalah bantut dikesan lebih awal,” katanya.
Katanya, kerajaan perlu memastikan makanan padat nutrien seperti telur, daging, ikan, sayur-sayuran berdaun dan buah-buahan mampu dibeli serta mudah diakses termasuk di kantin sekolah perlu diperkasakan.
“Akses kepada air bersih, kemudahan sanitasi dan pendidikan komuniti kepada ibu bapa juga penting bagi meningkatkan kesedaran pemakanan dan penjagaan kesihatan anak secara menyeluruh,” katanya. – UTUSAN











