KUALA LUMPUR: Seramai 138,000 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah dihantar pulang ke negara asal dengan kutipan hasil denda dan kompaun mencecah RM77 juta sejak Mei lalu.
Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi), Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, jumlah merupakan sebahagian 155,000 PATI yang menyertai Program Repatriasi Migran (PRM) 2.0.
Menurutnya, program ini masih berjalan dan akan berakhir dalam tempoh pelaksanaan yang ditetapkan bermula Mei 2025 sehingga April ini.
“Warga Bangladesh mencatatkan penyertaan tertinggi dalam PRM diikuti warga Indonesia.
“PATI terlibat mengambil peluang program ini untuk pulang ke negara asal secara sah dan teratur. Sebab itu kami sentiasa menguar-uarkan supaya mereka tampil sebelum program ini ditutup.
“Selepas program ini ditutup, mana-mana individu yang berada melebihi tempoh atau tidak mempunyai visa dan permit sah akan terdedah kepada tindakan undang-undang,” katanya pada sidang media selepas operasi di sebuah pusat beli belah terkenal di Cheras semalam.
katanya, beliau menjangkakan peningkatan penyertaan di saat-saat akhir, berdasarkan pengalaman program-program terdahulu.
“Biasanya apabila hampir tamat tempoh, jumlah yang tampil akan meningkat,” katanya. – UTUSAN










