TGCR raikan 90 anak yatim dalam majlis bufet bersama media

TGCR raikan 90 anak yatim dalam majlis bufet bersama media

MOHAMAD Fuzi Harun bersama 90 orang kanak-kanak daripada tiga rumah kebajikan dalam Majlis Bersama Anak-Anak Yatim dan Rakan-Rakan Media anjuran Tropicana Golf & Country Resort (TGCR), Petaling Jaya, Selangor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 90 orang kanak-kanak daripada tiga rumah kebajikan diraikan dalam Majlis Bersama Anak-Anak Yatim dan Rakan-Rakan Media anjuran Tropicana Golf & Country Resort (TGCR) di sini, semalam.

Majlis berkenaan dianjurkan bersempena penganjuran Selera Muhibbah Buffet 2026, selain menjadi sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat TGCR dalam menyantuni golongan kurang berkemampuan, khususnya menjelang bulan Ramadan.

Inisiatif itu turut mencerminkan usaha berterusan TGCR untuk berkongsi rezeki serta mengukuhkan hubungan dengan komuniti setempat melalui pendekatan keprihatinan dan kebajikan.

Pengerusi TGCR, Tan Sri Datuk Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya berbangga dapat menjadi tuan rumah kepada antara bufet Ramadan terbaik di bandar raya itu, hasil komitmen serta sumbangan berterusan pasukan pengurusan dan cef TGCR.

“Bufet Selera Muhibbah ini direalisasikan melalui usaha gigih pasukan TGCR dan cef kami. Selaras dengan prinsip kami untuk mentakrif semula seni keprihatinan, kami berbesar hati menjemput anak-anak daripada tiga rumah kebajikan untuk menikmati juadah bufet bersama kami.

“Sejak lebih 20 tahun lalu, kami sentiasa menjemput komuniti kurang berkemampuan untuk bersama-sama meraikan Ramadan di sini dan tradisi memberi serta berkongsi ini akan diteruskan pada masa akan datang,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Antara rumah kebajikan yang dijemput ialah Persatuan Kebajikan Anak-Anak Yatim Hajah Kamariah, Yayasan Anak-Anak Yatim Wardatul Jannah dan Pusat Tahfiz Darus Syabab.

Semua kanak-kanak yang hadir bukan sahaja dijamu dengan pelbagai hidangan bufet, malah turut menerima duit raya, hamper serta beg hadiah, manakala setiap rumah kebajikan menerima sumbangan bagi memeriahkan persiapan menyambut Aidilfitri.

Dalam pada itu, Adabi Consumers Industries Sdn Bhd (Adabi) dan Mamee Double Decker (M) Sdn Bhd (Mamee) menjadi antara rakan strategik yang menyokong penganjuran majlis kebajikan berkenaan.

Majlis tersebut turut diserikan dengan sesi pengenalan hidangan-hidangan baharu yang bakal ditampilkan sepanjang Selera Muhibbah Buffet 2026, melibatkan lebih 200 menu warisan dan kontemporari tempatan.

Selera Muhibbah Buffet 2026 akan berlangsung dari 21 Februari hingga 19 Mac 2026, menawarkan hidangan di 26 gerai termasuk 10 stesen masakan secara langsung, dan diadakan di Twenty7 Restaurant, Golf Lounge serta Grand Ballroom TGCR dari 7 malam hingga 10 malam setiap hari.

Selain itu, bufet berkenaan turut menampilkan pelbagai tarikan sampingan termasuk persembahan ghazal, dekorasi tradisional autentik, rumah kampung sebenar di pintu masuk, surau pusat baharu serta kemudahan tempat letak kenderaan percuma dengan perkhidmatan buggy. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×