KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan mengeluarkan kata-kata kurang sopan terhadap seorang penjawat awam di Jambatan Angkat, Ahad lalu.
Orang kena saman (OKS), Alfadli Awaludin, 44, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood. Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 1 Februari lalu kira-kira pukul 7 malam di perkarangan Jambatan Angkat Kuala Terengganu.
OKS didakwa mengeluarkan kata-kata kurang sopan iaitu ‘takkan mahu bakar suar di dalam hutan, nak suruh beruk tengok ke?’ terhadap Inspektor Azmi Mahamad Nor @ Mohamad Nor sekali gus melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM100 atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu bulan sekiranya gagal membayar denda. Mahkamah membenarkan OKS diikat jamin sebanyak RM1,000 dan menetapkan 5 Mac ini bagi lantikan peguam serta serahan dokumen.
Sementara itu, di mahkamah sama, tiga tertuduh lain masing-masing dikenakan denda RM3,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki suar tanpa lesen yang sah. Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara selama lima bulan sekiranya mereka gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Hafiz Azim Abdul Halim, 25; Muhammad Haiqal Jemerizan, 22, dan Mohd. Amrin Abdul Halim, 29, didakwa melakukan kesalahan itu pada 1 Februari lalu kira-kira antara pukul 8.45 malam hingga 9.30 malam di perkarangan Ibu pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu.
Mereka didapati memiliki suar berwarna merah tanpa lesen yang sah, sekali gus melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Di mahkamah berasingan, lima lagi penyokong Selangor FC turut dikenakan denda antara RM2,800 hingga RM3,200 atas kesalahan memiliki suar.
Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak menjatuhkan hukuman denda terhadap Muhammad Aliff Aiman Norazman, 23; Syafiq Waliuddin Mohd Anuar, 25; Hamizan Zafri Ahmad Fauzansah, 25; Muhammad Ashraff Azhar Mohd Radzi, 23 dan Noor Akmal Danish Noor Azli, 26.
Kesemua tertuduh turut didakwa melakukan kesalahan memiliki suar tanpa lesen yang sah di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207).
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Anith Nabilah Rusli dan Ely Nazihah Ahmad Yunus manakala kesemua tertuduh turut diwakili peguam, Ahmad Nur Faid Afiq Aziz. – UTUSAN










