JELEBU: Sebanyak 99 projek pembaikkan cerun sedang dilaksanakan Kementerian Kerja Raya di seluruh negara melibatatkan peruntukan sebanyak RM77.3 juta.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kesemua projek itu merupakan sambungan daripada projek yang telah diluluskan untuk tahun lalu dengan satu projek menjadi keutamaan untuk tahun ini.
Tahun ini, katanya, kementerian itu menerima peruntukan sebanyak RM260 juta bagi kerja membaiki cerun di kawasan berisiko tinggi.
“Saya berharap semua projek ini dapat memberikan jaminan keselamatan jangka panjang kepada infrastruktur kerajaan demi kepentingan dan keselamatan rakyat serta negara,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Pembaikan Cerun di Laluan Very High Frequency (VHF) Telapak Buruk di sini hari ini.
Kerja pembaikan cerun tersebut merangkumi 36 Arahan Kerja (AK) pembaikan cerun di sepanjang laluan sepanjang 11.25 kilometer ke puncuk gunung Telapak Buruk dengan kos RM109 juta selama tiga tahun sejak November 2022.
Pada Disember 2021, beberapa siri kejadian tanah runtuh telah berlaku di 124 lokasi sepanjang laluan itu akibat hujan berterusan.
Laluan VHF Telapak Buruk telah terkesan akibat runtuhan cerun yang menyebabkan sebahagian jalan terjejas dan tidak boleh dilalui oleh semua kenderaan.
Laluan itu merupakan akses strategik dan utama ke stesen pemancar komunikasi di gunung itu yang dikategorikan sebagai Sasaran Penting Keutamaan 1 (SP1) di bawah Rangkaian Radio Bersepadu Kerajaan.
Stesen pemancar di situ memberi manfaat langsung kepada rakyat melalui fasiliti milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO) selain syarikat utiliti dan telekomunikasi.-UTUSAN.











