Di mana keadilan untuk pemberi maklumat rasuah?

Di mana keadilan untuk pemberi maklumat rasuah?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KERAJAAN sering melaungkan komitmen memerangi rasuah. Undang-undang digubal, slogan diperkenalkan dan angka tangkapan diumumkan.

Namun di sebalik semua itu, satu persoalan besar masih gagal dijawab dengan jujur sama ada negara ini benar-benar melindungi mereka yang berani melaporkan rasuah?

Kajian kes yang dibentangkan Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menunjukkan jawapan yang amat membimbangkan.

Kes ini bukan terpencil tetapi cerminan kegagalan sistemik, undang-undang, tadbir urus dan kegagalan moral negara dalam melindungi pemberi maklumat (whistleblower).

Mangsa dalam kajian kes ini merupakan seorang penjawat awam yang berkhidmat lebih 22 tahun dalam sektor pendidikan teknikal negara. Rekod perkhidmatannya bersih, konsisten dan diiktiraf melalui Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) selama tiga tahun berturut-turut. Tiada sejarah salah laku serius, tiada masalah disiplin dan tiada rekod penyalahgunaan kuasa.

Namun segala-galanya berubah apabila dia melapor serta membantu menyalurkan maklumat berkaitan beberapa kes penyelewengan dan rasuah dalaman, termasuk:

• Arahan menandatangani Letter of Offer (LO) (surat tawaran) kosong
• Tuntutan palsu
• Kes perolehan bernilai hampir RM94,500

Penting ditegaskan, dia bukan pelaku, sebaliknya bertindak sebagai pemberi maklumat. Fakta ini disahkan sendiri melalui dokumen rasmi:

• Surat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor yang mengesahkan aduan diterima
• Surat Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) yang mengklasifikasikan kes tersebut sebagai Aduan Penyelewengan / Salah Laku / Rasuah

Namun dalam negara ini, ironi paling pahit sering berlaku apabila pelapor menjadi mangsa sementara pelaku pula dilindungi.

DARI PELAPORAN KEPADA PEMBALASAN

Selepas laporan dibuat, corak yang muncul adalah klasik tindakan balas (retaliation) terhadap pemberi maklumat, yang kini dikenal pasti secara universal sebagai antara ancaman terbesar kepada integriti institusi.

Mangsa mula:
• Ditekan secara psikologi
• Dimarahi dan
ditengking oleh pihak pengurusan
• Ditukar penempatan kerja secara tidak munasabah
• Dicipta persepsi negatif terhadap prestasi dan kehadiran

Alasan yang digunakan kemudian kelihatan remeh dan bersifat post-justification dengan isu cuti sakit, dakwaan tidak bekerja dengan baik dan laporan dalaman yang bercanggah dengan rekod perkhidmatan sebenar.

Malah, sebahagian dakwaan tersebut kemudiannya diakui tidak berbangkit oleh pihak kementerian sendiri.

Namun kerosakan berlaku yang akhirnya menyebabkan mangsa dikenakan hukuman paling berat iaitu pembuangan kerja.

‘HUKUMAN MATI’ SOSIAL PEMBERI MAKLUMAT
Pembuangan kerja ini bukan sekadar penamatan kontrak tetapi hukuman mati sosial dan ekonomi.

Selepas lebih dua dekad berkhidmat:
• Mangsa kehilangan sumber pendapatan
• Hak pencen terhapus
• Keluarga terjerumus ke dalam tekanan kewangan
• Rumah hampir dilelong
• Trauma emosi berpanjangan dialami oleh mangsa dan ahli keluarga

Semua ini berlaku bukan kerana rasuah tetapi kerana melaporkan rasuah.

Di manakah keadilan? Di manakah perlindungan yang dijanjikan oleh undang-undang?

AKTA PERLINDUNGAN PEMBERI MAKLUMAT: UNDANG-UNDANG TANPA GIGI?

Malaysia memiliki Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010. Namun kes ini membuktikan hakikat pahit yang perlindungan di atas kertas tidak menjamin perlindungan di lapangan.

Akta ini gagal apabila:

• Identiti pelapor bocor secara dalaman
• Pelapor dikenakan tindakan tatatertib berselindung
• Tiada mekanisme efektif menghentikan tindakan balas
• Tiada pemulihan pantas apabila kezaliman berlaku

Akibatnya, mesej yang sampai kepada penjawat awam lain amat jelas dan menakutkan:

“Jika kamu melapor, kamu akan dihukum.” Kenyataan sebegini merupakan racun kepada integriti negara.

Isu ini lebih besar daripada seorang mangsa, kerana itu MCW menegaskan isu ini bukan hal peribadi sebaliknya merupakan kepentingan awam dan keselamatan institusi.

Negara yang gagal melindungi pemberi maklumat sedang:

• Melatih budaya diam
• Membiakkan rasuah terselindung
• Menggalakkan pelaku untuk terus bermaharajalela
• Menghukum kejujuran dan keberanian
• Dalam jangka panjang, kesan kerosakan ini jauh lebih besar dan mendalam berbanding hanya satu kes rasuah.

Berdasarkan kajian kes ini, MCW menggesa kerajaan untuk:

• Menyiasat secara bebas dakwaan tindakan balas terhadap pemberi maklumat
• Membersihkan rekod mangsa dan mempertimbangkan pemulihan atau pampasan sewajarnya

Dalam masa sama meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat agar:

• Tindakan balas menjadi kesalahan jenayah
• Beban bukti dialihkan kepada majikan
• Menubuhkan mekanisme perlindungan bebas di luar hierarki organisasi
• Menjadikan kes ini sebagai precedent keadilan, bukan pengajaran untuk menakutkan pelapor lain

 

NEGARA DINILAI DARI CARA MELINDUNGI ORANG JUJUR

Perang melawan rasuah tidak dimenangi dengan poster, ucapan atau statistik sebaliknya apabila negara berdiri bersama orang yang jujur, walaupun mereka lemah dan bersendirian.

Jika seorang penjawat awam yang berkhidmat lebih 22 tahun boleh dimusnahkan hidupnya kerana melapor rasuah, maka persoalan sebenar bukan lagi berapa banyak kes rasuah kita tangkap tetapi siapa sebenarnya yang negara ini lindungi?

Pemerhati Rasuah Malaysia percaya yang keadilan untuk pemberi maklumat adalah syarat asas kepada negara berintegriti dan keadilan itu tidak boleh ditangguhkan lagi.-UTUSAN

PENULIS ialah Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×