12 penyokong Selangor FC didakwa kes dadah

12 penyokong Selangor FC didakwa kes dadah

SEBAHAGIAN daripada 12 penyokong Selangor FC yang dituduh di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, Kuala Terengganu, Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU:  Seramai 12 penyokong Selangor FC yang membuat kecoh  di Jambatan Angkat Kuala Terengganu Ahad lalu, dituduh di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas kesalahan memiliki dan menyalah guna dadah.

Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak menetapkankan 4, 5 dan 6 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menunggu laporan kimia.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh Muhammad Amirul Izham Anuwa, 26, didakwa memiliki dadah berbahaya disyaki kanabis seberat 1.12 gram (berat kasar) di pekarangan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu kira-kira pukul 9.30 malam pada 2 Februari lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa memiliki dadah berbahaya disyaki nimetazipam seberat 0.37 gram (berat kasar) pada tarikh, masa dan tempat yang sama mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi kedua-dua pertuduhan tersebut. Selain itu, Muhammad Amirul Izham turut berdepan satu lagi pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memasukkan dadah berbahaya disyaki jenis tetrahydrocannabinol (THC) ke dalam badannya di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuala Terengganu kira-kira pukul 3 pagi, 2 Februari lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 (Pindaan 2002) dan dibaca bersama Seksyen 38B(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun serta pengawasan polis antara dua hingga tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Dalam kes sama, lima lagi tertuduh iaitu Muhammad Akmal Hakim Abd Aziz, 29; Mohamad Alif Aiman Abdullah, 26; Asyraaf Syazwan Azman, 25; Akmal Haqim Amir Hamzah, 25, dan Adam Hakimi Misra, 20, turut didakwa memasukkan dadah berbahaya disyaki THC ke dalam badan mereka di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu antara pukul 2.55 hingga 3.45 pagi, pada tarikh sama.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 (Pindaan 2002) dan dibaca bersama Seksyen 38B(1) akta sama. Mahkamah membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin RM2,000 sementara menunggu keputusan kimia.

Sementara itu, di mahkamah berasingan, enam lagi tertuduh dibenarkan diikat jamin RM2,500 oleh Majistret Noor Mazrinie Mahmood dengan tarikh sebutan semula ditetapkan pada 30 April depan.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Shafirul Hisham Hassan, 26; Muhamad Syafiq Junaedi, 27; Ahmad Naqiuddin Ahmad Nordzri, 29; Ahmad Ziyad Zulkifli, 26; dan Muhammad Afiq Haikal Gunawan, 27, didakwa memasukkan dadah berbahaya disyaki THC ke dalam badan di perkarangan IPK Terengganu antara pukul 12.30 tengah malam hingga 3.20 pagi, 2 Februari lalu.

Seorang lagi tertuduh, Muhammad Asyraf Azli, 25, pula  didakwa memasukkan dadah berbahaya disyaki methamphetamine ke dalam badan kira-kira pukul 3.31 pagi di lokasi sama.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 (Pindaan 2002) dan dibaca bersama Seksyen 38B(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun serta pengawasan polis antara dua hingga tiga tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×