16,000 penduduk terjejas akibat lombong pasir - Utusan Malaysia

16,000 penduduk terjejas akibat lombong pasir

PASIR
Kamarulzaman Abd. Aziz, 55, merenung nasib dirinya dan keluarga kerana lokasi perlombongan pasir terlalu hampir dengan rumahnya di Kampung Ketapang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Kerakusan pengusaha lombong pasir mengaut ke­untungan berlipat ganda tanpa mengambil kira kesan kepada alam sekitar dibimbangi menjejaskan kira-kira 16,000 penduduk khususnya golongan nelayan di lapan buah kampung di pesisir Sungai Pahang, di sini.

Lapan kampung berkenaan ialah Tanjung Agas, Pasir Panjang, Ketapang, Kuala Pahang, Marhum, Siong, Pulau Tambun dan Kampung Pulau Jawa.
Paling terjejas, nelayan su­ngai dan pesisir pantai yang dianggarkan kira-kira 1,300 orang di lapan kampung ber­kenaan.

Seorang nelayan sungai, Mohd. Saidi Hassan, 46, yang juga penduduk Kampung Tanjung Agas berkata, sebelum ini kehidupan penduduk di situ aman dan tangkapan hasil su­ngai tidak berkurangan seperti sekarang.

“Sejak perlombongan pasir ini, kita dapat lihat tebing su­ngai semakin terhakis, sungai makin dalam dan air pula kotor serta berkeladak.

“Rumah-rumah yang terletak berhampiran tempat perlombongan pula dapat berasakan gegaran termasuk rumah saya sendiri. Saya bimbang satu masa nanti, rumah penduduk di sini retak dan roboh, ini tidak mustahil jika pe­ngusaha terus rakus mengorek pasir,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Tanjung Agas di sini semalam..

Semalam, akhbar ini melaporkan penduduk pesisir sungai di Tanjung Agas, Pasir Panjang dan Ketapang bimbang kampung mereka berdepan risiko tenggelam dalam jangka masa 30 tahun akan datang di­sebabkan hakisan kesan kegiatan perlombongan pasir yang tidak terkawal di Sungai Pahang di situ.

Seorang lagi nelayan sungai yang juga penduduk Tanjung Agas, Mohd. Soufi Zakaria, 33, berkata, isu hakisan paling dibimbangi penduduk di situ.

“Memang sekarang kita tidak nampak kesan hakisan ini, kita lihat ketika berlaku banjir nanti,” katanya.

Dalam pada itu, demi memelihara ekosistem dan alam sekitar di situ, dia berharap kegiatan perlombongan pasir itu segera dihentikan.

“Jika tidak dihentikan pun, kawal kegiatan mengorek supaya ia tidak dilakukan secara rakus dan jauh dari pe­nempatan penduduk,” kata­nya.

Sementara itu, penduduk Kampung Pulau Jawa, Anuar Mahasan, 57, berkata, tiada masalah perlombongan pasir di situ tetapi biarlah ia terka­wal dan mematuhi prosedur serta syarat ditetapkan.

“Masalah rakyat seperti ha­kisan, debu-debu pasir masuk ke rumah penduduk dan masjid serta bunyi bising perlu juga diberikan keutamaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×