Pilihan raya Datuk Bandar berpotensi pembahagian kaum

Pilihan raya Datuk Bandar berpotensi pembahagian kaum

AHMAD PHESAL TALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sistem sedia ada pelantikan Datuk Bandar wajar dikekalkan dari sudut kepentingan nasional kerana ia dapat mengelakkan persaingan politik yang berpotensi mencetuskan pembahagian kaum di kawasan bandar.

Bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Phesal Talib berkata, pilihan raya di kawasan bandar berisiko menyebabkan sesuatu kawasan bandar diwakili oleh satu kaum sahaja, sekali gus mengehadkan kepelbagaian bakat dan penyertaan pelbagai kaum.

Beliau berkata, sekiranya pemilihan Datuk Bandar dilaksanakan melalui pilihan raya, sistem tersebut sememangnya lebih terbuka dan mampu mencerminkan gambaran keseluruhan pentadbiran serta pembangunan bandar raya.

Namun katanya, dari sudut kepentingan awam dan ketelusan, terdapat pelbagai faktor lain yang perlu diberi perhatian.

“Kebanyakan bandar besar di negara ini didominasi oleh satu kaum, sekali gus berpotensi mewujudkan trend pemilihan berasaskan kaum sekiranya pilihan raya dilaksanakan.

“Oleh itu, sistem sedia ada merupakan kaedah bagi menjaga kepentingan nasional dari segi kesepaduan, pertumbuhan serta pengurangan jurang antara kaum,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ahmad Phesal berkata, masyarakat bandar yang agak ketinggalan berbanding kumpulan lain boleh dibantu melalui pertumbuhan yang dirancang kerajaan menerusi sistem perkhidmatan awam.

Namun katanya, dari sudut ketelusan, kehendak majoriti rakyat dan penglibatan awam, pemilihan melalui pilihan raya merupakan kaedah yang diamalkan oleh banyak negara lain, termasuk Indonesia dan selari dengan trend antarabangsa dalam pemilihan Datuk Bandar.

“Bagaimanapun, bagi Malaysia, kaedah pelantikan masih dilihat lebih sesuai bagi mengekalkan keseimbangan dan peluang dalam pembangunan serta aktiviti bandar, khususnya untuk membantu pihak yang masih ketinggalan.

“Dalam hal ini, kebergantungan kepada sistem perkhidmatan awam dianggap lebih baik kerana lazimnya menghormati kerajaan yang memerintah, sekali gus mengelakkan konflik dasar,” katanya.

Ahmad Phesal turut menyentuh pandangan bahawa pilihan raya Datuk Bandar berisiko meminggirkan orang Melayu atau menyebabkan mereka kehilangan ruang dalam pentadbiran bandar.

Justeru katanya, pendekatan melalui perkhidmatan awam membolehkan dasar kerajaan dilaksanakan dengan lebih teratur oleh pegawai yang mematuhi dan menghormati kerajaan semasa.

Katanya, masalah yang timbul ketika ini adalah tekanan politik serta kepentingan parti tertentu yang menyebabkan hilangnya kepercayaan rakyat terhadap sistem Datuk Bandar.

“Namun, sekiranya Datuk Bandar memiliki keteguhan prinsip, daya kepemimpinan yang baik serta mematuhi peraturan kerajaan, sistem tersebut boleh berfungsi dengan berkesan,” katanya.

Mengulas contoh Kuala Lumpur dan beberapa negeri lain, beliau berkata, dasar pentadbiran bandar bukan ditentukan oleh Datuk Bandar semata-mata, sebaliknya diputuskan oleh pihak yang dilantik oleh parti pemerintah dan perkara tersebut bukan sesuatu yang baharu.

Katanya, realiti di Malaysia menunjukkan kebanyakan bandar didominasi oleh satu kaum, manakala kaum lain masih ketinggalan, justeru dasar nasional dan kepentingan negara perlu diteliti secara mendalam sebelum sebarang perubahan sistem dilaksanakan.

“Ketika ini, hanya Kuala Lumpur mempunyai Datuk Bandar dengan kuasa eksekutif yang lebih jelas, manakala pihak berkuasa tempatan (PBT) lain berfungsi melalui ahli-ahli majlis sebagai pembuat keputusan, dengan Yang Dipertua menjalankan tanggungjawab pentadbiran.

“Datuk Bandar tidak seharusnya diletakkan dalam keadaan tidak selesa atau terikat dengan tekanan kumpulan politik tertentu sehingga menjejaskan pelaksanaan tugas,” katanya.

Beliau turut mengakui bahawa risiko politik tetap wujud termasuk kemungkinan Datuk Bandar dipengaruhi sentimen parti pemerintah dan pemilihan melalui pilihan raya juga tidak terlepas daripada risiko tersebut.

“Sistem sedia ada perlu dikekalkan tetapi ditambah baik khususnya dari aspek tadbir urus, ketelusan dan kebebasan membuat keputusan tanpa campur tangan kepentingan politik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×