JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menumpaskan satu sindiket ‘pasport terbang’ dalam satu operasi di sebuah pangsapuri di Taman Daya di sini Khamis lalu.
Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd. Rusdi Mohd. Darus berkata, sindiket itu mengaut untung dengan mengenakan caj RM850 bagi setiap pemilik pasport warganegara asing bagi mendapatkan cap keselamatan keluar masuk negara secara tidak sah.
Katanya, hasil risikan selama dua minggu, sepasukan pegawai dari bahagian penguat kuasa telah menyerbu premis itu yang dijadikan markas operasi sindiket berkenaan.
“Dalam serbuan pukul 6.50 petang itu, anggota penguat kuasa menemukan sejumlah sembilan pasport warganegara asing, yang digunakan sebagai dokumen perjalanan untuk tujuan keluar masuk negara dipercayai mendapatkan cap keselamatan secara tidak teratur.
“Dalam operasi ini, seorang warga tempatan berumur 44 tahun ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan dibawah Akta Pasport 1966 (Akta 150),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Rusdi berkata, siasatan awal mendapati suspek tersebut merupakan ejen sindiket berkenaan.
Katanya, individu tersebut kini ditahan di Bahagian Penguatkuatkuasa Negeri Johor untuk siasatan lanjut dan tindakan selanjutnya mengikut peruntukan undang-undang.
“Kita memandang serius sebarang bentuk penyalahgunaan pasport dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat kerana perbuatan ini boleh mengancam keselamatan negara,” katanya. – UTUSAN










