KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) termasuk pemilihan datuk bandar hanyalah satu kajian awal yang dicadangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dan tidak seharusnya dipolemikkan.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menegaskan bahawa cadangan pelaksanaan pilihan raya PBT mendapat sokongan ramai Ahli Parlimen (MP) di Kuala Lumpur sebagai usaha memperkukuh demokrasi serta meningkatkan akauntabiliti dalam pemilihan Datuk Bandar.
Beliau berkata, konsep pemilihan Datuk Bandar bukan perkara baharu dan telah lama diamalkan di banyak negara demokrasi di seluruh dunia.
“Saya tak nampak apa-apa kontroversi, itu hanya satu cadangan untuk mengadakan kajian untuk melihat sama ada ia boleh dilaksanakan atau tidak.
“Jadi saya lihat ini bukan isu DAP, ramai juga pihak lain turut memberi cadangan termasuk Khairy Jamaludin yang baru-baru ini dalam satu forum beliau secara terbuka mengatakan bahawa Kuala Lumpur sepatutnya ada pemilihan Datuk Bandar supaya ada lebih banyak akauntabiliti.
“Ramai ahli parlimen dekat KL termasuk PKR iaitu NiK Nazmi pun menyokong usaha kearah pendemokrasian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” katanya selepas mengadakan lawatan dan tinjauan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), hari ini.
Anthony berkata, DBKL merupakan sebuah kerajaan tempatan yang besar dan berbeza dengan PBT di negeri-negeri lain yang dilantik oleh kerajaan negeri, sedangkan kerajaan negeri dipilih secara langsung oleh rakyat.
Menurut beliau, Datuk Bandar Kuala Lumpur dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong melalui kerajaan Persekutuan, tanpa sebarang proses pemilihan rakyat.
Justeru katanya, pilihanraya PBT adalah usaha ke arah pendemokrasian DBKL wajar dikaji.
“Jadi ini yang kita menyatakan bahawa ada usaha untuk kearah pendemokrasian untuk DBKL dan ini hanya satu kajian yang perlu dilakukan untuk melihat kebolehlaksanaannya.
“Tidak perlulah mana-mana pihak cuba polemikkan, perkara ini satu kajian sahaja, jadi kajian kita bincanglah sama ada kelebihan atau kekurangan.
“Perkara ini tidak perlu diperbesar besarkan kerana belum pun dilaksanakan dia hanya setakat satu kajian saja di peringkat DBKL,” katanya.
Semalam akhbar ini melaporkan, UMNO akan menolak agenda Pilihan Raya PBT yang disifatkan tindakan politik berisiko merugikan rakyat, selagi parti itu berada dalam kerajaan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd. Razlan Muhammad Rafii berkata, daripada sudut pengurusan awam, pelaksanaan pilihan raya PBT akan menuntut peruntukan dana yang besar.
Katanya, dana itu seharusnya dimanfaatkan untuk memperkukuh perkhidmatan asas seperti kebersihan bandar, pengangkutan awam, penyelenggaraan infrastruktur dan kesejahteraan komuniti setempat.-UTUSAN










