PERUBAHAN harga tandan buah segar (TBS) dipengaruhi oleh pelbagai faktor termasuk harga pasaran antarabangsa bagi minyak sawit mentah (MSM), kos pengeluaran, bekalan buah sawit dan dasar kerajaan berkaitan komoditi.
Perubahan harga ini bukan sahaja memberi kesan langsung kepada pendapatan pekebun sawit kecil dan syarikat pengeluar besar, tetapi juga mempunyai implikasi lebih luas terhadap ekonomi tempatan, pelaburan sektor pertanian, dan kestabilan pasaran tenaga kerja di kawasan ladang sawit.
Memandangkan sawit adalah salah satu komoditi eksport utama Malaysia, pemantauan harga TBS menjadi amat kritikal bagi merancang strategi ekonomi, memastikan daya saing industri, dan menjaga kesejahteraan pekebun serta pihak berkepentingan lain dalam rantaian nilai sawit.
Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, dalam landskap pasaran global yang sentiasa berubah, isu harga TBS sering menjadi perhatian utama, bukan sahaja kerana ia menentukan pendapatan pekebun, malah kerana ia mencerminkan kesihatan keseluruhan industri sawit negara.
“Penetapan harga TBS bukanlah suatu proses yang bersifat rawak atau ditentukan sesuka hati, sebaliknya ia berasaskan formula yang telus, dinamik dan berkait rapat dengan pergerakan pasaran minyak sawit global.
“Harga harian TBS ditentukan berdasarkan pergerakan harga minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit (PK). Kedua-dua harga ini berubah setiap hari mengikut wilayah dan dipengaruhi oleh penawaran, permintaan serta sentimen pasaran global.
“Harga MSM dan PK kemudiannya diselaraskan dengan kadar perahan minyak (KPM) dan kadar perolehan isirung (KER) bagi menentukan harga TBS di pasaran,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selain itu, jelasnya, penetapan harga TBS turut mengambil kira pelbagai potongan yang dikenakan, termasuk sumbangan ses ke atas MSM (RM16), caj pengangkutan MSM (RM32 hingga RM80), Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke atas pengangkutan MSM (6.0 peratus).
Malah, cukai jualan ke atas MSM yang dikenakan oleh kerajaan negeri bagi Sabah (7.5 peratus) dan cukai jualan ke atas MSM dan minyak isirung sawit mentah yang dikenakan oleh kerajaan negeri Sarawak (5.0 peratus) serta caj pemprosesan MSM yang dikenakan oleh pihak pengilang (RM65 hingga RM75).
Ahmad Parveez berkata, unjuran harga TBS lazimnya dibuat berpandukan pergerakan harga MSM di pasaran global, memandangkan MSM merupakan faktor asas utama dalam penentuan harga TBS di peringkat tempatan.
“Berdasarkan unjuran industri bagi suku pertama 2026, harga MSM dijangka bergerak dalam lingkungan RM4,000 hingga RM4,300 satu tan.
“Sehubungan itu, harga TBS di peringkat kilang dianggarkan berada dalam julat RM800 hingga RM950 satu tan, tertakluk kepada kadar perahan minyak (KPM) sebenar dan faktor kos semasa,” katanya.
Beliau menegaskan, harga itu masih dianggap memberikan pulangan yang munasabah dan menguntungkan kepada pekebun kecil dan pengusaha ladang, khususnya apabila kualiti TBS yang dibekalkan adalah baik dan mencapai KPM yang tinggi.
Namun demikian, ujarnya, harga TBS bersifat dinamik dan boleh berubah setiap hari, bergantung kepada turun naik harga MSM dan PK, sentimen pasaran global serta faktor penawaran dan permintaan.
“Oleh itu, pekebun disaran untuk memberi penekanan kepada kualiti buah, amalan penuaian yang betul dan pematuhan Amalan Pertanian Baik (GAP) bagi memastikan mereka memperoleh harga TBS yang optimum,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Parveez berkata, MPOB telah melaksanakan pelbagai pendekatan dan inisiatif bagi membantu pekebun kecil meningkatkan kualiti TBS seterusnya memperoleh harga yang lebih baik di pasaran.
“Antara inisiatif utama ialah pelaksanaan latihan dan pensijilan penggred TBS melalui Kursus Kemahiran Menggred Buah Kelapa Sawit (BKS) bagi memastikan penggredan TBS dibuat secara standard dan telus, sekali gus menjamin penentuan Kadar Perahan Minyak Digred (GOER) yang adil.
“Semua premis peniaga dan kilang buah sawit diwajibkan mempunyai penggred TBS bertauliah sebagai syarat pelesenan MPOB,” katanya.
MPOB turut menguatkuasakan dasar Premium Quality, Premium Price (PQPP) dan toleransi sifar terhadap buah mentah, termasuk keperluan mempamerkan harga satu peratus kadar perahan minyak (OER) semasa penggredan, penyerahan slip penggredan kepada pembekal serta pemasangan penunjuk berat yang jelas bagi menjamin ketelusan urus niaga.
“Selain itu, pembangunan aplikasi Sawit Intelligent Management System (SIMS) membolehkan pekebun kecil mendapatkan maklumat harga belian TBS semasa dan membuat perbandingan harga pembeli di kawasan berhampiran,” jelasnya. – UTUSAN









