Galak ceburi keusahawanan digital

Galak ceburi keusahawanan digital

PROGRAM keusahawanan digital wajar diperluaskan bagi membantu mahasiswa menjana pendapatan sendiri di samping pengajian akademik dalam melahirkan usahawan digital muda yang berdaya saing.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERAMAI 200 mahasiswa UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban menyertai Program Usahawan Digital YPM 2026 anjuran Kelab Prime Mover UiTM dengan kerjasama Yayasan Pelajaran Mara (YPM).

Program ini dirangka khusus bagi melengkapkan mahasiswa dengan kemahiran praktikal dan strategi perniagaan moden selari dengan keperluan ekonomi digital yang semakin mencabar dengan bimbingan penceramah jemputan, Siti Nur Suraya Mohamed Ali, seorang pakar keusahawanan digital. 

Selain pendedahan kepada pemasaran digital dan pengurusan kewangan, peserta turut dibimbing dalam membina rangkaian perniagaan (networking) yang mampan bagi memastikan kelangsungan perniagaan pada masa hadapan.

Bagi memastikan keberkesanan penyampaian, program ini dibahagikan kepada tiga modul utama yang bersifat interaktif:

Modul Asas Perniagaan memberi fokus kepada pembentukan minda keusahawanan, pembangunan model perniagaan dan cadangan nilai. Peserta turut diberi tugasan membina simulasi perniagaan sendiri serta menghasilkan identiti visual dan logo menggunakan platform digital secara langsung.

Modul Zero Marketing pula menekankan penggunaan teknologi terkini apabila peserta didedahkan kepada aplikasi kecerdasan buatan (AI) seperti Gemini untuk menyunting video serta menghasilkan kandungan kreatif merangkumi teks, imej dan muzik. Penekanan turut diberikan kepada teknik menghasilkan kandungan tular yang berpotensi memacu jualan.

Modul TikTok untuk menjana kewangan membuka perspektif baharu kepada mahasiswa tentang potensi media sosial sebagai sumber pendapatan. Modul ini merangkumi strategi penjenamaan peribadi, sistem pemasaran afiliasi serta etika dan garis panduan dalam mempromosikan produk secara berkesan dan berintegriti.

Program seumpama ini wajar diperluaskan bagi membantu mahasiswa menjana pendapatan sendiri di samping pengajian akademik dan dilihat sebagai pemangkin penting dalam melahirkan usahawan digital muda yang berdaya saing.

Melalui penganjuran program berimpak tinggi ini, UiTM diyakini mampu terus melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah berupaya menyumbang secara signifikan kepada kemampanan ekonomi negara melalui inovasi dan keusahawanan digital. – UTUSAN

NAWWAR HAFIDZ RAHIMI

PROGRAM USAHAWAN DIGITAL YPM

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×