Kehadiran Ji-ho tambah sengat Selangor FC

Kehadiran Ji-ho tambah sengat Selangor FC

Kehadiran Kim Ji Ho dalam skuad Selangor FC akan menambah keupayaan serangan bahagian sayap Gergasi Merah selepas ini. - IHSAN SELANGOR FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selangor FC menambah bisa di bahagian serangan apabila membawa masuk pemain sayap muda Korea Selatan, Kim Ji Ho, bagi menghadapi baki saingan Liga Super 2025/26.

Menurut kenyataan Selangor FC, Ji Ho dipilih berdasarkan profil permainannya yang menepati falsafah pasukan, khususnya dari segi kepantasan, keberanian melakukan larian dan kebolehan mencetus ancaman dari bahagian sayap.

Pemain itu turut menyatakan keterujaannya menyertai kelab bersejarah Malaysia tersebut, sambil menyifatkan Selangor FC sebagai pasukan yang memiliki visi besar dan persekitaran profesional.

“Saya melihat Selangor FC sebagai sebuah kelab yang mempunyai cita-cita tinggi, seiring dengan matlamat saya sebagai pemain.

“Kualiti jurulatih dan pemain di sini sangat baik, dan suasana dalam pasukan memberi keyakinan kepada saya,” kata kenyataan tersebut.

Pemain Korea Selatan itu turut tidak menyembunyikan rasa kagum terhadap sokongan padu penyokong Selangor FC dan bertekad untuk memberikan komitmen sepenuhnya demi pasukan.

Pemain berusia 22 tahun itu secara rasmi menyertai pasukan Gergasi Merah selepas mengumpul pengalaman awal bersama Suwon Samsung Bluewings, sekali gus menandakan satu lagi langkah strategik kelab dalam memperkukuh cabaran domestik dan serantau.

Ji Ho merupakan produk sistem pembangunan bola sepak Korea Selatan, bermula di Akademi Suwon Samsung Bluewings sebelum melalui beberapa pasukan belia terkemuka termasuk Seongnam FC dan Yongin Football Center, selain mewakili Universiti Korea di peringkat universiti.

Beliau memulakan karier profesional bersama Suwon Samsung Bluewings pada Julai 2024 dan mencatat 22 penampilan rasmi, dengan empat gol serta tiga bantuan jaringan dalam saingan Liga K2 dan Piala Korea, satu rekod yang mencerminkan potensinya sebagai pemain sayap moden yang agresif.

Kehadiran Kim Ji-ho dijangka memberi lebih variasi dan ‘sengat’ dalam barisan serangan Selangor FC, khususnya dalam misi memburu kejuaraan Liga Super Malaysia dan saingan Piala ACC Shopee musim 2025/26. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×