RAMADAN tidak lama lagi merupakan bulan paling mulia dan sentiasa dinanti-nantikan oleh umat Islam kerana padanya tersimpan peluang besar untuk meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.
Mudir Maahad Tahfiz al-Quran Masjid Lama Lubuk Emas Lambor Kanan, Perak Tengah, Mohammad Ibrahim Zahairi, 40, berkata, umat Islam perlu mempertingkatkan kualiti ibadah di sepanjang Ramadan terutama puasa dengan mempelajari ilmu berkaitan puasa agar ibadah benar-benar membuahkan hasil berupa ketakwaan.
Menurutnya, tujuan utama pensyariatan puasa Ramadan adalah untuk melahirkan insan bertaqwa, sekali gus menjadi bekalan paling bernilai apabila bertemu Allah SWT kelak.
“Untuk meningkatkan kualiti puasa, perkara pertama yang perlu diberi perhatian ialah ilmu. Paling asas ialah niat dan perkara-perkara yang membatalkan puasa. Jika dua perkara ini dikuasai, Insya-Allah ibadah puasa akan lebih terpelihara.
“Setiap individu wajib mengetahui sekurang-kurangnya perkara yang membatalkan puasa dan berusaha memperbaiki kualiti puasa setiap kali Ramadan berbanding tahun sebelumnya,” katanya.
Mohammad Ibrahim Ibrahim berkata, Ramadan juga merupakan kesempatan terbaik untuk umat Islam memperbanyakkan ibadah lain khususnya membaca al-Quran, sama ada bersendirian mahupun tadarus di masjid.
Katanya, digalakkan sekurang-kurangnya mengkhatamkan al-Quran sekali sepanjang Ramadan kerana setiap huruf dibaca akan digandakan ganjarannya oleh Allah SWT, apatah lagi jika dibaca dalam solat.
“Di maahad ini, pelajar tahfiz kami turut diberi peluang berkhidmat kepada masyarakat. Tahun lalu, seramai 27 orang pelajar menjadi imam solat Tarawih di sekitar Perak Tengah.
“Walaupun menjadi imam, mereka tetap mengkhatamkan bacaan 30 juzuk al-Quran dalam solat dengan membaca kira-kira tiga juzuk sehari, sekali gus dapat khatam dalam tempoh 10 hari,” katanya.
Beliau menjelaskan, bacaan al-Quran dalam solat itu turut disemak oleh rakan-rakan lain bagi memastikan ketepatan bacaan.
Menurutnya, Ramadan juga peluang terbaik bagi yang masih belum lancar membaca al-Quran untuk mempelajarinya, manakala yang sudah mahir, digalakkan memperbanyakkan khataman dan menyertai tadarus di masjid.
“Ramadan adalah madrasah tarbiah. Sama ada kita sudah pandai atau belum, semuanya ada ruang untuk meningkatkan amal ibadah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan umat Islam agar tidak mengabaikan ibadah sunat seperti solat Tarawih dan qiamulail sepanjang Ramadan.
“Amat rugi jika meninggalkan solat Tarawih. Walaupun secara zahir nampak sama ,berbuka dan bersahur bersama namun nilai ganjaran di akhirat pasti berbeza,” ujarnya.
Mohammad Ibrahim turut menasihatkan umat Islam supaya mengelakkan pembaziran, khususnya dalam penyediaan makanan berbuka puasa.
Katanya, perancangan rapi perlu dibuat termasuk mengenal pasti jumlah ahli keluarga yang akan berbuka bagi mengelakkan pembaziran, selain mengawal hawa nafsu ketika membeli juadah di bazar Ramadan.
Menyentuh mengenai Maahad Tahfiz al-Quran Masjid Lama Lubuk Emas Lambor Kanan, beliau berkata, pusat pengajian itu ditubuhkan pada 1998 dan menempatkan 132 pelajar berusia antara 10 hingga 18 tahun.
Menurutnya, selepas menamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran, pelajar akan menyambung pengajian peringkat Alim yang memberi penekanan kepada penguasaan ilmu agama secara mendalam termasuk tafsir, hadis, fiqh, usul fiqh, akidah serta bahasa Arab.
“Ketika ini, seramai 31 pelajar mengikuti kelas Alim dengan sembilan mata pelajaran selama empat tahun.
“Bagi pelajar hafiz, tempoh hafazan bergantung kepada kemampuan masing-masing. Pelajar paling cepat di sini mula menghafal pada usia sembilan tahun dan berjaya mengkhatamkan 30 juzuk ketika berusia 11 tahun,” katanya.-UTUSAN










