MELBOURNE: Novak Djokovic membuktikan kehebatannya masih belum pudar apabila mencipta kebangkitan dramatik menewaskan Jannik Sinner dalam perlawanan separuh akhir Terbuka Australia semalam, sekali gus melayakkan diri ke final menentang Carlos Alcaraz.
Pemain berusia 38 tahun itu mengharungi perlawanan lima set yang sengit selama empat jam sembilan minit sebelum menundukkan juara bertahan dua kali, Sinner 3-6, 6-3, 4-6, 6-4, 6-4 dalam aksi yang berakhir pada pukul 1.32 pagi di Arena Rod Laver.
Kemenangan tersebut membuka laluan buat Djokovic untuk memburu gelaran Grand Slam ke-25, yang bakal menjadi rekod sepanjang zaman, apabila dia berdepan pilihan utama kejohanan, Alcaraz, hari ini.
Selepas tamat perlawanan, Djokovic dilihat melutut di gelanggang dengan penuh emosi, seolah-olah sukar mempercayai kejayaannya menyingkirkan cabaran Sinner.
“Sukar untuk mempercayainya. Saya amat menghormati Sinner, dia pemain yang luar biasa dan memaksa saya beraksi hingga ke tahap maksimum,” kata Djokovic yang sebelum ini tewas dalam lima pertemuan berturut-turut kepada Sinner.
Kali terakhir Djokovic menjuarai kejohanan Grand Slam adalah di Terbuka Amerika Syarikat 2023, sebelum arena tenis lelaki didominasi oleh generasi muda diketuai Alcaraz dan Sinner.
Ketika ini, Djokovic berkongsi rekod 24 gelaran Grand Slam bersama legenda Australia, Margaret Court yang turut hadir menyaksikan perlawanan tersebut.
“Saya tidak pernah berhenti percaya pada diri sendiri walaupun ramai meragui kemampuan saya. Kritikan itu sebenarnya memberi saya motivasi untuk terus membuktikan bahawa saya masih mampu bersaing di tahap tertinggi,” kata Djokovic. – AFP/UTUSAN










