Malam itu selepas menunaikan solat Maghrib, Nasir dan Jenal terus berjumpa Ustaz Nawi dan menceritakan apa yang berlaku. Berkerut dahi Ustaz Nawi sebaik dengar cerita daripada Jenal. Dia memang kenal dan tahu sungguh perangai dua lelaki di hadapannya itu, tidak mungkin mereka akan mengada-adakan cerita.
“Sebenarnya memang dari dulu lagi kami sudah syak pasal perkara ini ustaz, tapi tak ada bukti. Sampailah adik saya Shukor nampak apa yang berlaku semalam,” kata Jenal bersungguh-sungguh.
Ustaz Nawi dan Nasir sekadar angguk kepala tanpa jawapan. Masing-masing berfikir mencari jalan apa yang perlu dilakukan selepas ini.
“Beginilah, insya-Allah saya akan cuba tengok-tengokkan mana yang termampu. Dan kita harap jika betul apa yang dia buat itu menyalahi hukum, maka dia tanggunglah di akhirat kelak.
“Berilah saya masa dalam beberapa hari ini, insya-Allah akan ada petunjuknya,” kata Ustaz Nawi berlapik.
Tiga hari kemudian Ustaz Nawi bertemu Nasir dan Jenal. Terus dia menceritakan apa yang berlaku. Terlopong mulut mereka apabila mendengar cerita Ustaz Nawi. Tidak sangka sehingga begitu sekali peniaga tersebut lakukan untuk melariskan jualan mereka.
“Mereka gunakan tulang monyet untuk jadikan pelaris.
“Biasanya hanya bomoh-bomoh di negara jiran ini sahaja yang terkenal buat benda-benda macam itu,” kata Ustaz Nawi.
Terdiam Nasir dan Jenal. Patutlah selama ini warung tersebut tidak putus-putus dikunjungi pelanggan, rupa-rupanya ada ‘sesuatu’ yang tidak kena berlaku di situ.
Kata Ustaz Nawi lagi kebiasaannya pelaris tulang monyet ini dibuat untuk lariskan perniagaan. Mereka akan mengorbankan haiwan tersebut untuk diambil tulang-temulangnya. Kemudian tulang itu dibawa kepada bomoh yang membuat pelaris tersebut untuk dipuja, dibaca mantera serapah sebelum digunakan sebagai tangkal.
“Tulang monyet ini bahaya sebenarnya. Bukan sekadar mereka jadikan pelaris, malah ada juga yang jadikan tangkal ilmu kebal, minyak pengasih dan sebagainya.
“Tangkal tersebut tidak kosong, tetapi ada makhluk yang akan mengawalnya,” jelas Ustaz Nawi
Sambungnya lagi, biasanya perkara tersebut tidak habis di situ sahaja, sesiapa yang mengamalkan cara sedemikian tetap ada ‘harga’ yang perlu dibayar. Katanya, jika sudah bersekutu dengan syaitan dan iblis terpaksalah ikut setiap ‘peraturan’ yang ditetapkan.
Kiranya apa yang dilihat oleh Shukor sebelum ini adalah cara ‘pembayaran’ yang perlu dilakukan. Dalam beberapa malam pada hari tertentu mereka kena ‘menjamu’ syaitan tersebut mengikut perjanjian sebelum itu. Apa jamuannya, wallahualam, hanya mereka sahaja yang tahu tentang akad dan janji tersebut.
Ustaz Nawi memberitahu, katanya, setiap pelaris yang digunakan ada tarikh luputnya. Jadi, mereka kena sentiasa memperbaharuinya dengan cara ditetapkan. Malah ada ketikanya dengan cara cukup jijik dan kotor.
“Jadi, sekarang ini apa yang perlu kita buat ustaz? Saya kasihan dengan Mak Som,” tanya Nasir ingin tahu.
“Kita jangan lawan ikut cara salah seperti mereka. Kita mohon sahaja kepada Allah SWT, kerana kepadanya tempat kita bergantung dan dianugerahkan rezeki. Insya-Allah, saya akan cuba buat pendinding dan pulihkan semula warung Mak Som,” kata Ustaz Nawi meyakinkan
Nasir.
Lega hati Nasir mendengarnya. Dia bukannya apa, cuma kasihan dengan Mak Som sahaja. Dia kenal sangat dengan sifat majikannya itu yang langsung tidak suka bersangka buruk dengan orang lain apatah lagi simpan dendam dan sebagainya. Sebab itulah dia boleh bertahan lama bekerja dengan wanita lebih separuh abad itu.
Seminggu berikutnya Ustaz Nawi datang ke warung Mak Som untuk ‘memulihkan’ perniagaannya. Berbekalkan air yang dibaca dengan ayat-ayat suci al-Quran, Ustaz Nawi dan Nasir menyiramnya di sekeliling warung tersebut.
“Insya-Allah mudah-mudahan perniagaan Mak Som akan pulih seperti sedia kala. Kalau kau hendak tahu sebelum ini memang tiada orang yang nampak kewujudan warung ini. Kalau ada pun mereka nampak seolah-olah warung ini sudah lama tutup,” kata Ustaz Nawi.
Terdiam Nasir mendengarnya. Patutlah selama ini tiada siapa yang singgah di warung Mak Som, rupa-rupanya ada ‘benda’ yang menutup penglihatan mereka.
Sejak Ustaz Nawi ‘memulihkan’ warung Mak Som memang banyak berlakunya perubahan. Pelanggan sudah mula datang memenuhi seperti sebelumnya. Selain itu, ada juga pelanggan yang bertanya kenapa begitu lama Mak Som bercuti dan tutup kedai, namun Mak Som hanya tersenyum, dia langsung tidak bercerita tentang apa yang berlaku.
Warung di seberang jalan itu pula sudah mula berubah wajah. Jika dahulu kedainya sentiasa dipenuhi pelanggan, namun kini berlaku sebaliknya. Pelanggan sudah mula berkurangan, jika ada pun boleh dibilang dengan jari. Nampak sudah tidak semeriah dahulu.
Lebih kurang dua bulan selepas itu warung tersebut sudah menunjukkan tanda-tanda ingin tutup. Waktu operasinya juga sudah singkat tidak lagi sehingga larut malam seperti dahulu, malah ada desas-desus mengatakan warung tersebut ingin disewakan kepada orang lain.
Telahan Nasir tepat, tidak sampai beberapa hari kemudian warung tersebut akhirnya tutup. Rumah sewa yang menempatkan pekerjanya juga sudah kosong.
Khabarnya semua pekerjanya sudah pulang ke negara asal. Nasir tahu peniaga tersebut tidak akan berhenti setakat itu. Pastinya dia akan mencari lokasi lain dan menggunakan cara kotor seperti sebelumnya.- UTUSAN
TAMAT










