GOMBAK: Polis memberi amaran kepada saki-baki anggota kumpulan penjenayah, ‘Geng Kapten Praba’ bahawa mereka tidak akan terlepas daripada buruan pihak berkuasa.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, pasukan polis akan terus menjejaki ahli kumpulan itu walaupun ada di antara mereka sudah melarikan diri ke luar negara.
“Siasatan mendapati sebahagian daripada suspek dipercayai telah melarikan diri ke luar negara menggunakan saluran tidak rasmi. Tapi cuma satu sahaja saya hendak cakap, awak boleh lari tetapi tidak boleh bersembunyi selama-lamanya daripada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Kepolisan Komuniti ‘Thaneer Panthal’ PDRM Tahun 2026 sempena Sambutan Hari Thaipusam di Kuil Sri Subramaniam Swamy, Batu Caves, di sini, hari ini.
Rabu lalu, media melaporkan, tiga lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sepang atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai ‘Geng Kapten Praba’.
C. Navindren Raj, 38, S. Sridharan, 30 dan S. Pratifkumar, 30, yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada hari sama ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Jenjarom, Kuala Langat antara Disember 2023 hingga 11 September tahun lalu mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, tiga lelaki itu yang juga suspek utama Ops Jack Sparrow ditahan di Mumbai, India pada Ahad lalu sebelum tiba Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Rabu lalu.
Pada September 2025, seramai 17 ahli kumpulan itu ditahan menerusi operasi bersepadu JSJ Bukit Aman melibatkan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Perak.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail memaklumkan, kumpulan tersebut dipercayai aktif sejak 2023 dengan keanggotaan seramai 33 orang, diketuai individu dikenali sebagai ‘Kapten Praba’.
Kumpulan itu dikaitkan dengan beberapa kejadian jenayah serius seperti serangan bersenjata, dan pembunuhan.Dalam pada itu, ketika ditanya berkenaan adakah dalang utama berada di luar negara, Kumar mengesahkan bahawa perkara tersebut adalah benar.
“Tiada kompromi akan diberikan dan setiap individu terlibat akan diburu sehingga ke muka pengadilan,” katanya. – UTUSAN










