STOCKHOLM: Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) terbukti membantu doktor mengesan lebih banyak kes kanser payudara melalui imbasan rutin, menurut hasil ujian klinikal pertama seumpamanya di dunia yang diterbitkan pada Jumaat.
Penyelidik utama dari Sweden mencadangkan agar setiap negara mula melaksanakan program memanfaatkan keupayaan imbasan AI bagi mengurangkan beban kerja pakar radiologi yang kini mengalami kekurangan kakitangan.
Kajian terbaharu yang diterbitkan dalam jurnal perubatan The Lancet ini merupakan ujian terkawal rawak (RCT) pertama yang lengkap iaitu standard tertinggi dalam penyelidikan saintifik bagi meneliti saringan kanser payudara dengan bantuan AI secara menyeluruh.
Ujian tersebut melibatkan 100,000 wanita yang menjalani imbasan kanser payudara rutin di seluruh Sweden. Mereka dibahagikan secara rawak kepada dua kumpulan utama.
Kumpulan pertama melibatkan seorang pakar radiologi yang dibantu oleh sistem AI untuk memeriksa imbasan, manakala kumpulan kedua mengikut kaedah standard Eropah yang memerlukan dua pakar radiologi membaca imbasan tersebut secara manual.
Hasil kajian menunjukkan kumpulan yang dibantu AI berjaya mengesan lebih banyak kes kanser berbanding kumpulan kawalan.
Sepanjang tempoh dua tahun berikutnya, kumpulan yang menggunakan AI turut mencatatkan kadar diagnosis kanser yang 12 peratus lebih rendah antara pemeriksaan berkala dikenali sebagai kanser interval iaitu kes yang sering dikesan lewat dan boleh menjadi lebih berbahaya.
Penulis kanan kajian dari Universiti Lund, Kristina Lang berkata, pelaksanaan mamogram dengan bantuan AI secara meluas bukan sahaja mengurangkan tekanan beban kerja, malah membantu mengesan kanser pada peringkat awal secara lebih efisien.
Bagaimanapun, beliau menegaskan ia perlu dilakukan secara berhati-hati dengan pemantauan berterusan oleh pihak berkuasa kesihatan.
Ketua Persekutuan Kebangsaan Pakar Radiologi Perancis, Jean-Philippe Masson menekankan mata dan pengalaman pakar radiologi tetap menjadi faktor utama untuk membetulkan diagnosis AI.-AFP










