PETALING JAYA: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sudah menyampaikan pandangannya kepada semua presiden parti dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) meskipun tidak menghadiri mesyuarat ‘pra majlis’ di kediaman Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.
Setiausaha Politiknya, Mohd. Syahir Mohd. Sulaiman berkata, berlaku perubahan jadual saat akhir di pihak Abdul Hadi dan pemakluman mengenai ketidakhadiran Ahli Parlimen Marang itu juga sudah dimaklumkan kepada Muhyiddin.
“Ya, berlaku perubahan jadual saat akhir di pihak Tuan Guru (Abdul Hadi). Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Setiausaha Agung Pas) sudah maklumkan ketidakhadiran Tuan Guru kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Pandangan Tuan Guru juga sudah disampaikan secara bersurat kepada semua presiden parti anggota PN,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Syahir yang juga Ahli Parlimen Bachok berkata, penegasan Abdul Hadi dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mahu PN diperkukuhkan.
“Setakat ini kita belum terima apa-apa makluman berkaitan hasil mesyuarat pra-majlis itu. Jadi kita tunggu panggilan mesyuarat ‘full-council’ untuk muktamadkan hal berbangkit.
“Di pihak Pas, kita mahu segalanya teratur dan diurus mengikut Perlembagaan dan peraturan yang sah. Penegasan Abdul Hadi dan Tuan Ibrahim, Pas mahu PN diperkukuhkan,” katanya.
Malam tadi, dua presiden parti komponen PN iaitu Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau dan Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), P Punithan hadir di kediaman Muhyiddin kecuali Abdul Hadi.
Ketiadaan pemimpin parti Pas menghadiri perjumpaan itu seolah-olah memberi petanda parti berkenaan ke arah keluar daripada PN.- UTUSAN











