Rasuah: Tutup ruang manipulasi, kurangkan campur tangan manusia

Rasuah: Tutup ruang manipulasi, kurangkan campur tangan manusia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM nadi sebuah negara yang sedang berusaha memulihkan keyakinan rakyat, isu rasuah bukan lagi sekadar bisikan di balik pintu tertutup. Ia kini terhidang di hadapan mata.

Diuji di mahkamah, disiasat tanpa gentar dan dituntut pertanggungjawaban tanpa mengira pangkat serta pengaruh. Inilah wajah ketegasan kerajaan hari ini dalam melawan rasuah dan salah guna dana awam. Ia perjuangan yang tidak boleh lagi bertolak ansur.

Mutakhir ini, beberapa individu berprofil tinggi disiasat dan didakwa atas tuduhan rasuah, membuktikan usaha membanteras jenayah tidak lagi bersifat simbolik.

Isu hangat diperkatakan ketika ini ialah kes rasuah yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM), melibatkan beberapa pegawai tertinggi.

Skala kes tersebut disifatkan lebih besar dan memerlukan proses ‘pembersihan’ menyeluruh agar wang rakyat tidak terus menjadi mangsa ketamakan.

Turut menjadi perhatian, siasatan terhadap seorang bekas menteri yang didakwa menerima kira-kira RM5 juta daripada sebuah syarikat pemaju berkaitan projek papan iklan dan urusan pemindahan tanah di ibu negara.

Hakikat individu-individu ini mempunyai kedudukan tinggi, malah ada yang rapat dengan pemimpin utama negara, memperlihatkan mesej jelas bahawa usaha membanteras rasuah tidak lagi terhenti kepada ‘ikan bilis’, sebaliknya kini menyasar ‘jerung’ yang mengaut keuntungan jauh lebih besar.
Keberkesanan sistem perundangan dan komitmen dalam memerangi rasuah turut dizahirkan melalui kejayaan pemulihan aset skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sehingga kini, sebanyak RM29.8 bilion atau kira-kira 70 peratus daripada RM42 bilion yang dipercayai diselewengkan berjaya dipulihkan. Ini simbol keupayaan negara menuntut semula hak rakyat yang lama dirampas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah mendedahkan kerajaan di bawah pimpinannya berjaya memulihkan ketirisan sebanyak RM15.5 bilion dalam tempoh dua tahun, bersamaan kira-kira RM7.75 bilion setahun.

Kejayaan itu dicapai hasil penguatkuasaan tegas dan tindakan berani pelbagai agensi kerajaan termasuk SPRM, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Dalam tempoh sama, SPRM berjaya melucut hak harta bernilai RM8 bilion, manakala PDRM menyita hampir RM4 bilion. JKDM pula menumpaskan sindiket haram dan penyeludupan bernilai RM2.5 bilion, sementara KPDN dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia mengutip penalti berjumlah RM1 bilion.

Rampasan wang tunai, harta, saham, tanah dan premis yang diseleweng ini mencerminkan kesungguhan kerajaan menutup kebocoran dana awam.

Bagaimanapun, Anwar meletakkan keyakinan kerajaan mampu mendapatkan kembali lebih banyak dana awam yang tiris, dicuri dan disalahgunakan melebihi jumlah yang berjaya dikutip itu.

Beliau percaya masih banyak lagi ketirisan dana awam yang belum dibongkar dan didedahkan. Ia adalah hak kita, hak rakyat yang dirompak kerana kelemahan dan ketidakkemasan sistem sebelum ini.

“Ketirisan dana itu berpunca daripada kelompok yang mencari kesempatan menyebabkan ketirisan dan kehilangan dana kerajaan,” katanya ketika Majlis Hari Kastam Sedunia Ke-44 di sini, Isnin lalu.

Langkah penting dalam memperkukuh usaha kerajaan ini ialah kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025 di Dewan Rakyat tahun lalu.

RUU yang mengandungi 12 bahagian dan 93 fasal itu digubal bagi meletakkan tanggungjawab penuh ke atas semua pihak terlibat dalam perolehan menggunakan dana kerajaan bertujuan menoktahkan amalan rasuah dan ketirisan wang rakyat secara sistematik.

RUU tersebut turut melarang pemindahan kontrak tanpa kebenaran, mewajibkan penzahiran kepentingan serta menghalang sebarang campur tangan untuk mengubah keputusan perolehan.

Kesalahan merekod atau memberikan maklumat palsu juga diperuntukkan secara jelas. Penggubalan undang-undang ini dilihat sebagai langkah penting memperkukuh tadbir urus kewangan negara, menutup ruang manipulasi dan memastikan dasar perolehan, termasuk penggunaan barangan tempatan, galakan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta amalan hijau, dilaksanakan dengan berkesan.

 

 

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM, Kampus Seremban, Dr. Mazlan Che Soh berpendapat, usaha membanteras rasuah dan salah guna kuasa perlu diperkukuh melalui pembaharuan institusi yang lebih menyeluruh, khususnya dalam kalangan penjawat awam, penguat kuasa dan pasukan pertahanan.

Langkah penting adalah memperkukuh sistem pengawasan dalaman bebas dan berfungsi, termasuk audit berasaskan risiko serta mekanisme pemantauan berterusan terhadap keputusan berimpak tinggi.

Di samping itu, perlindungan pemberi maklumat perlu diperkasa agar penjawat awam berani melaporkan salah laku.

“Pendigitalan proses kerja dan penggunaan teknologi seperti sistem e-perolehan serta analitik data juga wajar diperluaskan bagi mengurangkan campur tangan manusia dan ruang manipulasi.

“Pada masa sama, pengukuhan budaya integriti melalui latihan berterusan, penilaian prestasi berasaskan integriti dan penguatkuasaan yang konsisten amat penting untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap institusi kerajaan dan pasukan keselamatan negara,” katanya.

Dalam konteks ini, Mazlan menyeru agar kerajaan berani melaksanakan pemantauan bebas, memperketat pengisytiharan harta dan memastikan tiada pihak yang kebal daripada tindakan undang-undang, tanpa mengira pangkat atau institusi.

Tanpa reformasi institusi yang tegas dan konsisten, inisiatif antirasuah berisiko menjadi retorik dasar semata-mata. Pemulihan kepercayaan rakyat hanya akan berlaku apabila ketelusan dan akauntabiliti benar-benar diamalkan.

Memang benar, cabaran membanteras rasuah masih besar. Budaya perlindungan, rangkaian kepentingan, kelemahan penguatkuasaan serta sikap bertolak ansur dalam sistem lama menjadi halangan utama.

Justeru, ketelusan, pendigitalan perolehan, perlindungan pemberi maklumat dan pengisytiharan aset secara terbuka perlu diperkasakan sebagai langkah tambahan menutup ruang ketirisan.

Kerajaan juga perlu serius kerana risiko kegagalan menangani rasuah amat tinggi. Ia menjejaskan keyakinan pelabur, melemahkan ekonomi, merosakkan institusi dan akhirnya menghancurkan masa hadapan generasi akan datang.

Singapura dan New Zealand membuktikan penguatkuasaan tegas, sistem perolehan telus dan budaya integriti mampu meletakkan rasuah pada tahap minimum.

Bagi Malaysia, perjuangan ini belum selesai. Ketegasan ditunjukkan, undang-undang diperkukuh dan hasil awal mula kelihatan. Kini, yang dituntut rakyat ialah kesinambungan, kerana rasuah bukan sekadar jenayah kewangan tetapi pengkhianatan terhadap amanah dan masa hadapan negara.-UTUSAN

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Putrajaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×