DALAM masyarakat Malaysia hari ini, perbezaan antara generasi sering disalah tafsir sebagai konflik atau kelemahan.
Sindiran seperti “generasi muda terlalu bergantung telefon” atau “generasi lama sukar belajar teknologi” menjadi lazim tetapi hakikatnya jurang generasi boleh menjadi peluang strategik untuk membina masyarakat Madani yang inklusif dan berdaya tahan.
Jurang ini bukan semata-mata kelemahan peribadi tetapi hasil daripada ekosistem pembangunan berbeza.
Setiap generasi membesar dalam konteks ekonomi, teknologi dan budaya tersendiri sehingga membentuk cara berfikir, berkomunikasi dan bekerja yang unik. Apabila tidak difahami dengan betul, perbezaan ini mudah ditafsir sebagai keengganan berubah atau kegagalan menyesuaikan diri.
Teknologi kini menjadi keperluan asas. Generasi muda, masyarakat asli digital, pantas menyesuaikan diri dengan aplikasi baharu, kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi digital.
Sebaliknya, generasi lebih berusia memerlukan sokongan untuk menguasai kemahiran teknologi baharu. Jurang ini bukan halangan tetapi boleh dirapatkan melalui komunikasi berkesan, pendidikan rentas generasi dan kerjasama bermakna.
Generasi muda boleh menjadi pemudah cara dalam komuniti, menggunakan kemahiran digital mereka untuk membantu golongan lebih berpengalaman. Sebaliknya, generasi berpengalaman membawa nilai kerja, kesabaran dan pemahaman sosial yang mendalam. Gabungan kedua-duanya menghasilkan masyarakat Madani yang berdaya saing, berpengetahuan dan beretika.
Kerangka Madani menekankan hormat, kesejahteraan dan keadilan sosial. Teknologi bukan sekadar alat kecekapan tetapi instrumen pemerkasaan sosial untuk memperkukuh jaringan komuniti, meningkatkan kualiti hidup dan mengurangkan ketidaksamaan. Pendekatan ini harus berempati dengan pendidikan digital tidak boleh menghakimi atau merendahkan tetapi berasaskan prinsip saling menghormati dan belajar bersama.
Apabila generasi muda dan berpengalaman bertemu dalam ruang belajar bersama maka, teknologi menjadi jambatan nilai, bukan jurang. Perbezaan generasi perlu diraikan sebagai kekuatan kolektif.
Malaysia berpeluang membina masyarakat bukan sahaja maju dari segi teknologi tetapi juga matang dari segi adab, empati dan kebersamaan.
Pilihan kini terletak pada kita sama ada terus memelihara sindiran antara generasi atau menyemai potensi madani melalui teknologi yang memanusiakan.-UTUSAN
NURUL NISHA MOHD SHAH & ALIF DANISH AHZA AHMAD AZAHARI
Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media,
Universiti Teknologi Mara (UiTM), Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau










