Ringgit berdepan had pengukuhan berbanding dolar Singapura

Ringgit berdepan had pengukuhan berbanding dolar Singapura

RINGGIT ditutup rendah sebanyak 3.1078/1143 berbanding dolar Singapura pada Khamis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit dilihat sukar untuk mengukuh ke paras bawah RM3 berbanding dolar Singapura berikutan perbezaan struktur ekonomi dan kekuatan asas kewangan antara kedua-dua negara, khususnya dari segi rizab asing dan penarafan kredit.

Semalam, mata wang tempatan dibuka tinggi berbanding dolar Singapura pada 3.1045/1072  berbanding 3.1045/1112 pada Rabu, sebelum ditutup pada 3.1078/1143 pada pukul 5 petang. 

Bagi perbandingan dengan dolar Amerika Syarikat (AS) pula, ringgit dibuka pada 3.9150/9200 berbanding 3.9160/9220 pada Rabu, sebelum ditutup pada 3.9270/9330 di akhir dagangan.

Pensyarah Kanan Ekonomi dan Perbankan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Mohd Faisol Ibrahim berkata, Singapura memiliki rizab pertukaran asing yang jauh lebih besar serta penarafan kredit AAA, sekali gus memberikan keyakinan tinggi kepada pelabur global.

Menurut beliau, kedudukan Singapura sebagai sebuah negara maju dengan pendapatan per kapita yang jauh lebih tinggi turut menyumbang kepada kekuatan dolar Singapura.

“Sebagai sebuah negara kecil, Singapura mempunyai keupayaan kawalan ekonomi yang lebih tersusun dan berkesan. Faktor ini membolehkan negara itu membina ekonomi yang kukuh serta menarik kehadiran pelabur-pelabur besar dunia secara berterusan,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Bagaimanapun, beliau berkata, pengukuhan ringgit ke paras lebih kompetitif bukan sesuatu yang mustahil sekiranya Malaysia terus melaksanakan pembaharuan dasar secara konsisten.

“Malaysia kini berada di landasan yang betul dengan pelaksanaan beberapa reformasi fiskal dan kewangan bagi memastikan asas ekonomi negara kekal kukuh dan mampan,” katanya.

Antara langkah utama yang berpotensi menyokong pengukuhan ringgit termasuk pelaksanaan kenaikan gaji penjawat awam sebanyak 15 peratus, pengenalan subsidi bersasar serta penekanan terhadap pembangunan sektor teknologi tinggi.

“Selain itu, tumpuan kepada penyediaan modal insan berkemahiran tinggi amat penting bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing negara di peringkat serantau dan global,” katanya.

Mengulas mengenai prestasi semasa ringgit, beliau berkata, kedudukan mata wang tempatan ketika ini memberikan keyakinan yang tinggi bukan sahaja kepada pelabur sedia ada, malah berpotensi menarik pelaburan baharu.

Menurut beliau, pengukuhan ringgit disokong oleh asas ekonomi domestik yang kukuh, di samping faktor luaran termasuk ketidaktentuan geopolitik global yang masih berlarutan, khususnya melibatkan Amerika Syarikat (AS).

“Saya menjangkakan adalah tidak mustahil ringgit mampu mencecah paras di bawah RM3.90 berbanding dolar AS. 

“Ini sekiranya kadar Dasar Monetari (OPR) Malaysia kekal berdaya saing, inflasi negara kekal rendah dan terkawal serta disokong kekuatan ekonomi domestik.

“Selain itu, ketidaktentuan geopolitik dunia yang masih belum menemui penyelesaian, khususnya melibatkan AS, turut memberi kesan terhadap pergerakan mata wang global,” katanya.

Sementara itu, menyentuh mengenai kenaikan harga emas, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, harga emas dijangka terus mencatat kenaikan seiring peningkatan harga logam berharga lain seperti perak, platinum dan palladium.

Emas spot naik 3.81 peratus kepada AS$5,505.70 (RM21,637.40) seauns atau RM695.65 segram pada pukul 4 petang semalam.

Beliau berkata, situasi itu didorong oleh penyusutan nilai dolar Amerika Syarikat (AS) yang menyebabkan logam berharga dilihat sebagai instrumen alternatif oleh pelabur.

“Justeru, potensi untuk harga emas terus meningkat sememangnya ada. Namun, dalam masa sama, kemungkinan berlakunya aktiviti pengambilan untung juga tidak boleh diketepikan.

“Oleh itu, pelabur dinasihatkan supaya meletakkan jangkaan yang realistik apabila ingin melabur dalam emas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×