Altel Cloud perkasa penyimpanan data dan prestasi perniagaan

Altel Cloud perkasa penyimpanan data dan prestasi perniagaan

WILSON Ugak Kumbong (tengah) bersama Mohamad Helmi Harith (Kiri) semasa perasmian pelancaran Altel Cloud di Astana @ Bamboo Hills di sini, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Altel Communications (Altel), anak syarikat Tradewinds Group Malaysia melancarkan Altel Cloud Ekosistem bagi merapatkan jurang antara penggunaan digital yang pesat selaras dengan keperluan penyimpanan data dan prestasi perniagaan di negara kita.

Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, Altel Cloud merupakan salah satu komponen penting dalam ekosistem digital yang perlu diperkasakan oleh semua pihak. 

“Saya yakin kehadiran platform ini akan memudahkan pengurusan data dan operasi lain, selaras dengan hasrat kementerian untuk memastikan industri digital terus berkembang.

“Kami (kerajaan) sentiasa mengharapkan pemain industri seperti Altel dapat menjadi contoh, agar industri-industri lain turut memainkan peranan mereka dengan lebih efektif,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Alter Cloud di sini, semalam. 

Beliau berkata, dalam era teknologi yang pesat ini, risiko seperti penipuan siber wujud di merata tempat.

“Oleh itu, kerjasama antara pemain industri seperti Altel dan kerajaan adalah sangat penting bagi memastikan keselamatan data dan kepentingan rakyat terpelihara.

“Saya percaya, dalam tempoh 20 hingga 40 tahun akan datang, Malaysia berpotensi menjadi hab kecerdasan buatan (AI) yang unggul. 

“Industri AI kini berkembang dengan pesat dan kukuh. Saya turut yakin Altel Cloud akan menyumbang kepada pembangunan industri digital dan teknologi negara, sekali gus membantu Malaysia mencapai aspirasi sebagai hab AI serantau,” ujarnya. 

Sebagai komponen utama Tradewinds Group Malaysia, Altel menempatkan dirinya secara unik dalam landskap digital negara dengan menawarkan penyelesaian berasaskan pengalaman operasi sebenar.

Berbeza daripada awan generik, platform ini memanfaatkan wawasan serta keperluan praktikal pelbagai syarikat dan entiti di bawah Tradewinds Group.

Warisan industri Altel merangkumi sektor-sektor kritikal termasuk automotif, pelabuhan, utiliti, perladangan, komoditi, pos & logistik, kejuruteraan, perbankan, hartanah dan teknologi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Altel Group, Mohamad Helmi Harith berkata, Altel Cloud adalah respons strategik syarikat terhadap sempadan kematangan digital, seterusnya ditakrifkan oleh fokus peralihan daripada sekadar skala kepada penekanan saiz yang tepat, pematuhan dan prestasi yang berdaya tahan. 

“Berteraskan kekuatan industri, kami telah membina kerangka gred perusahaan yang mencerminkan realiti operasi dan kawal selia landskap Malaysia bagi memastikan pelanggan kami mengekalkan kawalan penuh terhadap masa depan digital mereka. 

“Bagi memastikan sempadan digital yang kalis masa depan, Altel Cloud disepadukan dengan keupayaan khusus yang lebih luas daripada syarikat-syarikat operasi Altel Group. 

“Kepakaran kolektif ini membolehkan penumpuan teknologi canggih yang lancar, termasuk keselamatan siber berdaya Al dengan pengesanan dan tindak balas ancaman proaktif yang dikuasakan oleh Pusat Operasi Keselamatan (SOC) 24/7,” katanya. 

Beliau berkata, seiring dengan kematangan ekonomi digital di Malaysia, kebanyakan syarikat di sektor perusahaan dan awam kini mewajibkan data disimpan secara tempatan untuk penyelarasan dengan kerangka kawalselia domestik. 

“Altel Cloud mewakili peralihan strategik ke arah tadbir urus awan secara domestik, memastikan maklumat sensitif kekal sepenuhnya di dalam sempadan Malaysia dan dilindungi daripada kerumitan peralihan bidang kuasa rentas sempadan. 

“Kedudukan ini menyokong secara langsung Dasar Pengkomputeran Awan Negara, yang memberi keutamaan kepada penggunaan awan yang selamat dan cekap bagi pemodenan sektor awam.

“Fokus terhadap penyimpanan data ini turut diperkukuh melalui komitmen terhadap prestasi tanpa kompromi.

“Disokong oleh pusat data Tahap III berdaya ketersediaan tinggi di Cyberjaya dan Kuala Lumpur, platform ini memanfaatkan ketersambungan domestik secara terus melalui Malaysian Internet Exchange (MyIX),” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×