Ambil tahu kelebihan melabur dalam emas digital

Ambil tahu kelebihan melabur dalam emas digital

JONGKONG emas telah mencapai paras tertinggi AS$$5,594.82 (RM22,057.58) pada Khamis lalu. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIMPANAN emas digital disimpan melalui akaun pelaburan atau aplikasi mudah alih lebih fleksibel kerana boleh dibeli dengan modal kecil sementara transaksi jual beli dapat dilakukan dengan pantas.

Harga emas juga dipaparkan secara langsung, memudahkan pelabur membuat keputusan. Namun, emas digital bergantung sepenuhnya kepada teknologi dan keselamatan siber. Ia tidak memberikan rasa ketuanan fizikal dan pelabur perlu meletakkan kepercayaan yang tinggi terhadap platform yang dipilih.

Pelaburan emas di Malaysia kini berkembang pesat dengan pelbagai platform yang menekankan kemudahan akses dan kepatuhan syariah. Maybank Islamic Gold Account (MIGA) misalnya membolehkan pembelian emas serendah RM10 melalui akaun bank, manakala Public Gold menawarkan aplikasi interaktif dengan paparan harga emas secara langsung dan transaksi pantas. Bursa Gold Dinar menyediakan pasaran emas dinar yang lebih sistematik, sementara Bank Islam dan Bank Rakyat menawarkan produk simpanan emas yang diyakini kerana jaminan keselamatan serta nilai koperasi.

Tidak ketinggalan, Bank Muamalat turut memperkenalkan akaun emas patuh syariah yang fleksibel, manakala YaPEIM Gold menawarkan produk emas fizikal dan digital dengan kelebihan tambahan iaitu keuntungan disalurkan kepada program kebajikan masyarakat. Kesemua platform ini memperkukuh ekosistem pelaburan emas di Malaysia dengan menekankan aspek patuh syariah, teknologi digital serta pilihan yang pelbagai, sekali gus menjadikan emas sebagai instrumen tabungan yang relevan dan diyakini oleh pelabur Muslim masa kini.

Namun, membeli emas secara leverage (pinjaman untuk gandakan kuasa beli) juga tidak dibenarkan kerana melibatkan unsur riba dan spekulasi, di mana pelabur berhutang untuk memiliki emas yang sebenarnya belum dimiliki.

Dari sudut risiko, leverage menjadikan pelaburan sangat berbahaya kerana jika harga emas jatuh sedikit sahaja, kerugian boleh berganda dan menyebabkan pelabur menanggung hutang lebih besar daripada modal asal. Oleh itu, pelaburan emas yang tidak patuh syariah atau menggunakan leverage bukan sahaja bercanggah dengan prinsip Islam, tetapi juga mendedahkan pelabur kepada risiko kewangan yang tinggi dan tidak seimbang.

Walau bagaimanapun, pelabur muda perlu berhati-hati. Pastikan platform yang digunakan berlesen, bereputasi baik, patuh syariah dan selamat daripada risiko siber. Dengan langkah berjaga-jaga ini, aplikasi emas boleh menjadi pintu masuk terbaik untuk generasi muda membina tabungan masa hadapan.

Secara keseluruhannya, tidak dapat dinafikan emas semakin terkenal dalam kalangan pelabur muda, didorong oleh faktor ekonomi, sosial dan juga perkembangan teknologi. Emas fizikal memberi rasa ketuanan yang nyata serta nilai harga yang tinggi, manakala emas digital pula lebih praktikal kerana menawarkanfleksibiliti, kos rendah dan mudah diakses melalui aplikasi. Kehadiran platform digital mengubah cara anak muda menyimpan emas, menjadikannya lebih inklusif dan seiring dengan gaya hidup moden.

Bagi generasi muda, pilihan antara emas fizikal dan digital sebenarnya bergantung terhadap matlamat pelaburan masing-masing. Ada yang lebih selesa dengan emas fizikal kerana melihatnya sebagai warisan keluarga, sementara ada yang memilih emas digital kerana kemudahan teknologi yang pantas dan mesra pengguna. Malah, menggabungkan kedua-duanya boleh menjadi strategi yang bijak untuk mempelbagaikan portfolio pelaburan dan mengurangkan risiko.-UTUSAN

AMIERUL NAZRIEN MOHD ROESLI & PROFESOR DR. NURADLI RIDZWAN SHAH MOHD DALI
Fakulti Ekonomi dan Muamalat
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×