MyKad bakal dilengkapi rekod beli minyak masak

MyKad bakal dilengkapi rekod beli minyak masak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: MyKad versi baharu yang dijadualkan diperkenalkan bermula 1 Jun depan akan dilengkapi fungsi khas bagi merekod pembelian minyak masak peket bersubsidi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan menyatukan pelbagai mekanisme subsidi dan bantuan dalam satu sistem bersepadu yang lebih cekap dan telus.

Menurutnya, Sistem Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) ketika ini digunakan bagi mendaftarkan semua pihak dalam rantaian pengedaran termasuk kilang penapisan, syarikat pembungkusan, pemborong dan peruncit untuk merekodkan transaksi daripada peringkat pengeluaran sehingga jualan runcit.

“Kami bersedia melaksanakan integrasi ini. Memandangkan pelaksanaan subsidi RON95 dan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) berjalan dengan baik, perbincangan akan diadakan bersama Kementerian Kewangan bagi menghubungkannya dengan platform MyKasih sebagai pilihan tambahan bagi penjualan minyak masak paket, sepertimana pelaksanaan Sara.

“Pada masa akan datang, pembelian minyak masak paket hanya memerlukan imbasan kod QR pada kad pengenalan,” katanya Di Dewan Rakyat, hari ini pada sesi Waktu Pertanyaan.

Beliau menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) berhubung keberkesanan eCOSS dalam pengagihan minyak masak paket bersubsidi kepada warga emas dan orang miskin di luar bandar tanpa kemudahan internet serta langkah memastikan tiada isi rumah tercicir akibat pelaksanaan aplikasi tersebut.

Armizan berkata, perekodan transaksi di peringkat pengguna akhir penting bagi memastikan subsidi disalurkan kepada rakyat yang layak, selain menangani masalah ketirisan akibat penyelewengan dan penyeludupan minyak masak bersubsidi.

Ketika ini, aplikasi eCOSS menggunakan sistem kod QR bagi mengumpul data pembelian minyak masak paket oleh pengguna.

Beliau turut menegaskan bahawa tiada kuota pembelian ditetapkan berdasarkan isi rumah, sebaliknya had hanya dikenakan bagi setiap transaksi.

“Kuota itu merujuk kepada had maksimum bagi satu transaksi sahaja, bukan mengikut isi rumah. Sekiranya keperluan melebihi had, pembelian boleh dibuat oleh ahli keluarga lain seperti pasangan, ibu bapa atau anak-anak,” katanya.

Sehingga 18 November 2025, seramai 928,037 pengguna telah memuat turun aplikasi eCOSS sejak ia dilancarkan pada Ogos lalu. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×