SUNGAI SIPUT: Sambutan Thaipusam pada Ahad ini pasti lebih bermakna buat seramai 34 orang bekas pekerja ladang apabila mereka menerima geran pemilikan tanah seluas kira-kira 0.40 hektar setiap seorang selepas menanti selama 27 tahun untuk tujuan itu.
Salah seorang daripada mereka, M. Mageswari, 73, berkata, penantiannya tertunai apabila menerima geran tanah yang diidam-idamkan selama ini kelmarin.
Menurutnya, selepas tamat tempoh perkhidmatan di sebuah estet hampir 30 tahun, dia dan keluarganya perlu keluar dari ladang tersebut.
“Dari bujang sampai berkahwin, mempunyai anak dan cucu saya amat berharap dapat memiliki tanah sendiri untuk membina rumah impian.
“Saya tinggal bersama anak dan akan berpindah ke tanah yang saya terima ini sebaik sahaja rumah saya siap dibina dijangka pada April ini. Hari ini impian itu sudah tertunai. Saya sifatkan ini sebagai hadiah menjelang Thaipusam,” katanya.
Penyerahan geran tanah itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, Datuk A. Sivanesan pada Majlis Penyampaian Hak Milik Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Wilayah Batu 1 di sini.
Bagi M. Umarani, 64, perasaannya bercampur baur antara sedih dan gembira apabila menerima geran tanah itu kerana ibunya telah meninggal dunia pada 2011.
“Ibu telah meninggal dunia setelah lama menunggu. Betul kata mendiang ibu, dahulu dia berjuang tetapi hasilnya nanti terus kepada anak dan cucu.
“Saya berterima kasih kepada semua pihak kerana penantian kami sekian lama telah berakhir. Penat menunggu akhirnya berbalas,” katanya.
Sementara itu, Sivanesan berkata, penyerahan geran tanah itu menyelesaikan isu 34 bekas pekerja Ladang Kamiri dan Ladang Changkat Salak yang perlu mengosongkan kediaman masing-masing sebelum ini.-UTUSAN.










