PETALING JAYA: Kinergy Advancement Bhd (Kinergy) menjual 49 peratus pegangan dalam syarikat projek tenaganya kepada pengeluar tenaga swasta Thailand, B.Grimm Power Public Co Ltd dengan harga RM41.52 juta.
Ini susulan pengumuman Kinergy awal bulan ini mengenai rancangan untuk membangunkan loji janakuasa turbin gas kitaran gabungan berkapasiti 1.5 gigawatt (GW) di Perlis.
Menurut kenyataannya, di bawah perjanjian itu, B.Grimm Power memperoleh 49 peratus kepentingan dalam JATI Cakerawala Sdn. Bhd. (JATI), syarikat pelaburan Kinergy untuk loji janakuasa turbin gas yang dibina sepenuhnya.
Kinergy mengekalkan 51 peratus kepentingan kawalan dalam JATI.
Katanya, perkongsian ini menandakan evolusi Kinergy daripada kontraktor Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC) tulen kepada Pengeluar Kuasa Bebas (IPP), mengukir niche strategik sambil mewujudkan platform untuk kerjasama jangka panjang dengan B.Grimm Power merentasi peluang tenaga terpilih.
Ini berlatar belakangkan dengan rancangan B.Grimm Power untuk melabur lebih daripada RM4.3 bilion dalam sektor tenaga boleh diperbaharui dan kuasa Malaysia serta rekod prestasi serantau yang mantap, projek ini membentuk asas hubungan teknikal dan pelaburan yang lebih luas.
Projek ini juga mengesahkan semula penyertaan rasmi Kinergy ke dalam ruang IPP, meletakkan kumpulan ini di samping pengeluar kuasa Malaysia yang mantap seperti Malakoff Corporation Berhad dan YTL Power International Berhad.
Konsortium tersebut diketuai oleh Kinergy dengan B.Grimm Power mengukuhkan platform melalui kepakaran teknikal, kejuruteraan dan operasi berskala IPP dan ditugaskan untuk membangunkan loji janakuasa Turbin Gas Kitaran Gabungan (CCGT) baharu.
Timbalan Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Kinergy, Datuk Lai Keng Onn berkata, infrastruktur merupakan komitmen jangka panjang.
Katanya, membangunkan aset negara yang perlu beroperasi dengan andal selama beberapa dekad, pemilihan rakan kongsi adalah amat penting.
“Keputusan B.Grimm untuk melabur pada peringkat awal ini mencerminkan pandangan yang seiring terhadap nilai jangka panjang tapak tersebut serta disiplin yang diperlukan untuk membangunkannya dengan sewajarnya.
“Bagi Kinergy, langkah ini menandakan peralihan jelas daripada sekadar melaksanakan projek untuk pihak lain kepada membina dan memiliki aset yang mempunyai nilai berkekalan,” katanya.
Dari perspektif Kinergy, beliau berkata, projek ini disusun untuk menyokong pendapatan merentasi pelbagai fasa kitaran hayat aset. S
“Sepanjang tempoh pembinaan, Kumpulan menjangkakan penglibatan dalam aktiviti EPCC, dengan memanfaatkan pengalaman dalam projek janakuasa berasaskan gas bagi menjana nilai melalui pelaksanaan.
“Dalam jangka panjang, setelah loji siap ditauliahkan, projek ini dijangka menyumbang pendapatan stabil dan berulang di bawah model IPP.Elektrik yang dijana akan dijual kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) di bawah Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA), yang dijangka dimuktamadkan menjelang suku ketiga tahun ini,” ujarnya.
Tambahnya, kerja-kerja EPCC dijadualkan bermula pada suku pertama 2027, sekali gus membuka laluan kepada operasi komersial Fasa 1 menjelang akhir 2029. – UTUSAN










