'MIC perlu muhasabah, berpandangan jauh dalam tentukan hala tuju politik'

‘MIC perlu muhasabah, berpandangan jauh dalam tentukan hala tuju politik’

MOHD. YUSSOF LATIFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: MIC perlu bermuhasabah dan berpandangan jauh dalam menentukan hala tuju politiknya ketika parti berada di persimpangan antara cabaran besar dan keperluan untuk terus relevan dalam landskap politik negara.

Veteran UMNO, Tan Sri Mohd. Yussof Latiff berkata, sebagai parti politik lama yang mempunyai sejarah panjang serta memainkan peranan penting dalam pembinaan negara sejak sebelum kemerdekaan, MIC tidak wajar tersisih tanpa usaha pembaharuan serius.

Katnya, MIC yang diasaskan pada Ogos 1946 oleh John Thivy dan terinspirasi daripada gerakan kemerdekaan India, pernah menjadi wadah politik utama masyarakat India di Tanah Melayu serta tulang belakang penting dalam Parti Perikatan bersama UMNO dan MCA.

“MIC merupakan sebahagian daripada kerajaan selama beberapa dekad sehingga 2018 sebelum berlaku tsunami politik yang menyaksikan parti itu tersingkir daripada arus perdana politik negara buat pertama kali dalam sejarahnya. Sejak kekalahan Barisan Nasional (BN) pada 2018, MIC kehilangan jawatan menteri dan sokongan masyarakat India mula beralih dengan ketara. Ini satu isyarat jelas bahawa perubahan besar diperlukan,” katanya di sini, hari ini.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini dilaporkan berkata, pihaknya menghormati sebarang tindakan dibuat parti gabungan khususnya parti teras seperti MIC, walaupun ia membabitkan keputusan besar sama ada kekal dalam BN atau sebaliknya.

Mohd. Yussof berkata, MIC kini kelihatan terperangkap dalam dilema dalaman apabila wujud dua pandangan bercanggah iaitu satu mahu parti itu meninggalkan BN dan menyertai Perikatan Nasional (PN), manakala satu lagi mendesak MIC kekal bersama BN dengan keyakinan gabungan itu mampu bangkit semula.

“Pertembungan dua pandangan ini menyebabkan MIC gagal menentukan arah yang jelas, sekali gus melemahkan kedudukan parti dalam percaturan politik semasa.

“MIC perlu bermuhasabah dengan rasional dan realistik. Antara BN dan PN, BN kekal sebagai pilihan yang lebih stabil kerana sejarahnya, struktur parti yang kukuh serta jentera yang mantap, walaupun kelemahan seperti isu rasuah perlu diperbaiki secara serius,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×