Tahan kanak-kanak bawah Sosma tidak wajar - Suhakam

Tahan kanak-kanak bawah Sosma tidak wajar – Suhakam

FARAH NINI DUSUKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menggesa pemansuhan segera peruntukan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) yang membenarkan penahanan kanak-kanak tanpa perbicaraan susulan kes seorang gadis 16 tahun di Kedah.

Ketua Pesuruhjaya Kanak-kanak Suhakam, Dr Farah Nini Dusuki berkata, meskipun pihaknya menyambut baik pembebasan remaja itu pada 23 Januari lalu, namun penahanan berkenaan tidak patut berlaku.

Katanya, penahanan itu melanggar Akta Kanak-kanak 2001, khasnya Seksyen 84 yang menetapkan kanak-kanak perlu dibawa ke Mahkamah Kanak-kanak dalam tempoh 24 jam selepas ditahan dengan syarat yang jelas tidak dipatuhi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Selain itu, Seksyen 83(1) dengan jelas menyatakan Akta Kanak-kanak mengatasi semua undang-undang lain berkaitan penangkapan, penahanan dan perbicaraan kanak-kanak, namun jaminan ini telah diabaikan, sekali gus mengakibatkan pelanggaran hak kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, kanak-kanak itu dinafikan perlindungan mengikut Seksyen 13 Sosma yang membenarkan ikat jamin, jika pesalah ialah kanak-kanak, wanita, sakit atau uzur.

“Pendirian OCC adalah jelas dan tegas: kanak-kanak tidak boleh ditahan bawah Sosma. Memandangkan Sosma membenarkan penahanan tanpa perbicaraan, ia tidak selaras piawaian hak kanak-kanak.

“Mana-mana peruntukan membenarkan penahanan kanak-kanak bawah Sosma seharusnya dimansuhkan.” katanya. 

Terdahulu, remaja tersebut dilaporkan ditahan dalam sekatan jalan raya dekat Plaza Tol Jitra bersama bapanya dan beberapa individu lain, selepas polis mendakwa kenderaan mereka digunakan untuk menyeludup migran.

Sepanjang penahanan selama seminggu, remaja terbabit mengalami alahan kulit dan muntah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini