PETALING JAYA: Tujuh pemain warisan tidak boleh bersorak terlalu awal kerana penangguhan hukuman penggantungan yang diumumkan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) bukan keputusan akhir.
Peguam sukan dan komersial, Nik Erman Nik Roseli berkata, penangguhan itu tidak bermaksud peluang rayuan tinggi atau tujuh pemain tidak bersalah atau rayuan akan berjaya kerana jika rayuan CAS ditolak, hukuman akan diteruskan.
“Perintah ini dibenarkan di bawah Kod CAS R37. Untuk mendapatkan perintah ini, tiga elemen perlu dipenuhi iaitu yang pertama kemudaratan yang tidak boleh diperbaiki (irreparable harm) terhadap pemain, Pemain-pemain akan mengalami kemudaratan yang tidak boleh diperbaiki kerana kehilangan peluang untuk bermain selama 12 bulan sekiranya rayuan mereka kemudian berjaya.
“Kedua, kebarangkalian kejayaan (likelihood of success), perlu ditunjukkan bahawa terdapat peluang untuk berjaya dalam rayuan tersebut. Bagaimanapun, panel tidak meneliti merit rayuan pada peringkat ini, sebaliknya hanya menilai secara prima facie sama ada rayuan itu mempunyai peluang untuk berjaya.
“Yang ketiga ialah keseimbangan kepentingan dan keseimbangan kemudahan (balance of interests / balance of convenience). Pemain-pemain perlu menunjukkan bahawa kepentingan mereka mengatasi kepentingan FIFA,” katanya.
Terdahulu, tujuh pemain warisan iaitu Facundo Garcés, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, João Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Héctor Hevel yang digantung 12 bulan oleh FIFA sebelum ini boleh kembali beraksi dan meneruskan karier bola sepak mereka.
Perkembangan itu dimaklumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang mengesahkan CAS membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan yang dikemukakan oleh tujuh pemain pasukan kebangsaan itu.
Menurut Nik Erman, Penangguhan Pelaksanaan tersebut merupakan konsep undang-undang yang juga ada di kes-kes jenayah dan sivil, iaitu penjenayah boleh tangguh hukuman penjara sementara menunggu rayuan.
“Ini tidak bermaksud hukuman FIFA diketepikan atau CAS telah memutuskan rayuan atau peluang rayuan adalah tinggi atau peluang untuk menang adalah tinggi. Ini hanya remedi sementara yang boleh dipohon,” katanya.
Ditanya sama ada tujuh pemain itu boleh kembali beraksi mewakili Harimau Malaya, Nik Erman berkata, ia bergantung kepada perintah penggantungan itu tetapi jika tiada halangan, ia bermaksud pemain-pemain boleh teruskan bermain seperti tiada hukuman penggantungan, bermain untuk negara dan kelab.
Sebelum ini, Palmero dan Holgado bersama Facundo Garces, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel didapati bersalah melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA yang berkaitan pemalsuan dokumen.
Kesemua pemain terbabit didenda CHF2,000 (kira-kira RM10,000) dan digantung daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak di seluruh dunia selama 12 bulan, manakala FAM dikenakan denda CHF350,000 (sekitar RM1.8 juta). – UTUSAN










