Teamstar sasar RM34.32 juta menerusi IPO di Pasaran ACE

Teamstar sasar RM34.32 juta menerusi IPO di Pasaran ACE

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Teamstar Berhad (Teamstar) menyasarkan kutipan sebanyak RM34.32 juta menerusi menerusi pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

Syarikat yang dijadualkan tersenarai pada 25 Februari itu bakal menerbitkan 800 juta saham baharu pada harga terbitan 26 sen sesaham, sekali gus dijangka mempunyai permodalan pasaran indikatif sebanyak RM208 juta.

Naib Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Teamstar, Tan Lee Kueng berkata, kumpulan itu menawarkan pelbagai pilihan produk merangkumi kelengkapan perabot, perkakasan am, jalur tepi, produk permukaan hiasan, peralatan dapur dan rumah, serta salutan dan pelarut untuk pelanggan runcit serta sektor perdagangan.

“Hari ini juga merupakan detik penuh bermakna apabila melangkah ke fasa seterusnya dalam perjalanan korporat kami, iaitu merealisasikan impian untuk menjadikan Teamstar sebuah syarikat tersenarai awam di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

“Ia hadir pada masa yang tepat ketika kami bersedia memanfaatkan peluang pembangunan yang luas dalam industri penambahbaikan rumah di Malaysia.

“Sehingga 31 Disember 2025, kami mempunyai kira-kira 27,800 unit simpan stok (SKU) merentasi segmen runcit, perdagangan dan nilai tambah.

“Selain itu, kami turut memasarkan produk di bawah 11 jenama dalaman iaitu Reno, Hauss, A’Lois, E’Lois, Bramah, team, DGTango, Eracoat, Best-Can, Bee’s Chem dan Bull Chem yang semuanya berdaftar sebagai cap dagangan dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO),” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, sejak membuka cawangan runcit pertama pada 2008, Teamstar telah membina rangkaian cawangan di seluruh Semenanjung Malaysia.

“Sehingga 31 Disember 2025, kami mengendalikan 28 cawangan runcit ‘Teamstar’ dan satu cawangan ‘Benova’, membolehkan kami mencapai pangkalan pelanggan yang luas di kawasan geografi yang meliputi pelbagai negeri,” ujarnya.

Hasil daripada IPO itu akan diperuntukan sebanyak RM23.209 juta atau 67.63 peratus bagi penubuhan cawangan runcit dan gudang baharu, keperluan modal kerja (RM4.647 juta atau 13.54 peratus), pembayaran balik pinjaman (RM1.464 juta 4.26 peratus) serta yuran dan perbelanjaan penyenaraian IPO (RM5.000 juta atau 14.57 peratus.

Lee Kueng berkata, kumpulan bercadang mengukuhkan kehadiran pasaran dengan membuka 10 lagi cawangan runcit baharu, khususnya di Johor, Kedah, Pulau Pinang serta Sabah dan Sarawak, yang menandakan kemasukan Teamstar ke pasaran Malaysia Timur.

Tambahnya, selain rangkaian runcit, operasi perniagaan turut disokong oleh dua kilang dan sembilan gudang di Semenanjung Malaysia.

TA Securities Holdings Berhad (TA Securities) dilantik sebagai Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin Tunggal dan Ejen Penempatan Tunggal bagi IPO Syarikat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×